Masalah kuda rencat persiapan ekuestrian

Masalah kuda rencat persiapan ekuestrian

Qabil Ambak Mahamad Fathil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persiapan skuad ekuestrian negara menjelang Sukan SEA berdepan cabaran getir apabila beberapa ekor kuda yang akan digunakan mengalami kecederaan sehingga menjejaskan perancangan asal pasukan.

Jurulatih ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil mengakui situasi itu memaksa mereka melakukan pertukaran penunggang dan kuda dalam tempoh singkat menjelang temasya.

“Persiapan kali ini memang agak mencabar. Beberapa ekor kuda mengalami kecederaan dan kita terpaksa buat banyak pertukaran antara penunggang dan kuda.

“Bila berlaku pertukaran, masa untuk sesuaikan diri itu penting sebab kuda dan penunggang perlu serasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Qabil, pasukan kali ini turut dibarisi gabungan penunggang berpengalaman dan muka baharu, menyebabkan kekuatan keseluruhan pasukan tidak seimbang seperti edisi-edisi terdahulu.

“Kita ada dua penunggang berpengalaman dan dua lagi masih baharu di pentas Sukan SEA.

“Jadi kekuatan pasukan agak tidak serata. Walaupun semua akan beri yang terbaik, saya jangka kali ini akan jadi edisi yang sangat mencabar buat kami,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kecederaan kuda utama yang sebelum ini menjadi sandaran pingat turut memberi kesan besar terhadap sasaran pasukan.

“Ada kuda yang sepatutnya menjadi taruhan untuk pingat juga mengalami kecederaan. Ini menjadikan misi kita untuk mengulang pencapaian emas sebelum ini agak sukar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Qabil turut mengakui persiapan pasukan kali ini bermula agak lewat berbanding kebiasaan, memandangkan tempoh untuk membina keserasian antara penunggang dan kuda biasanya memerlukan setahun atau lebih.

“Saya sendiri baru dilantik awal tahun ini. Untuk acara berkuda, tempoh beberapa bulan memang singkat.

“Kita akan cuba manfaatkan sebulan setengah terakhir ini untuk pastikan kuda dan penunggang serasi sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN