Liverpool ‘dalam krisis’, Konate jadi sasaran

Liverpool ‘dalam krisis’, Konate jadi sasaran

Penyerang Liverpool, Cody Gakpo (kiri), Arne Slot dan pemain pertahanan, Joe Gomez meninggalkan padang selepas pasukan mereka tewas kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Etihad, Manchester, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Bekas kapten Manchester United, Roy Keane berkata, Liverpool kini ‘dalam krisis’ selepas kekalahan 3-0 kepada Manchester City.

The Reds, yang merupakan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), telah pun tewas lima perlawanan musim ini dan kini di tangga kelapan liga, lapan mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Situasi itu menjadi punca kebimbangan pasukan bimbingan Arne Slot, menurut Keane ketika bercakap di Sky Sports.

“Pada ketika ini, anda tidak boleh menganggap Liverpool sebagai pencabar kejuaraan. Sudah lima kekalahan sekarang. Orang ramai asyik bercakap tentang barisan serangan mereka tetapi dari segi pertahanan, mereka benar-benar berantakan.

“Kekalahan ini pasti paling teruk. Beberapa perlawanan lain mereka kalah di saat-saat akhir, perlawanan sengit tetapi yang ini benar-benar menyakitkan. Ini adalah waktu krisis bagi Liverpool,” katanya.

Sementara itu, bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, menegur seorang pemain secara khusus.

Setelah beraksi lebih daripada 700 perlawanan dalam pertahanan The Reds sepanjang kariernya, beliau memberi tumpuan kepada seorang pemain yang kini bermain di posisi yang pernah dipegangnya iaitu Ibrahima Konate.

“Saya langsung tidak faham apa yang cuba dilakukan oleh Konate. Apabila Liverpool dibolosi atau berdepan masalah, dia berada di tengah-tengah puncanya.

“Terlalu kerap musim ini, dia hilang fokus terutamanya ketika bermain di tempat lawan,” katanya mengenai pemain Perancis itu.

Walaupun kelihatan pasukan kendalian Slot itu sudah menemui rentak selepas kemenangan ke atas Aston Villa dan Real Madrid, Keane menegaskan, keputusan tersebut tidak membawa makna.

“Untuk tewas tujuh daripada sepuluh perlawanan dan lima kali setakat ini itu memang waktu krisis bagi kelab seperti Liverpool.

“Penilaian Slot memang tepat. City kelihatan lebih kuat, lebih baik secara teknikal, dan jauh lebih baik dari segi fizikal. Liverpool nampak seperti pasukan yang sangat lemah hari ini. Mereka masih ada kualiti untuk mencipta ancaman, tetapi dari segi pertahanan, gol yang mereka bolos, keputusan yang lemah, kekurangan intensiti, semuanya kelihatan sangat lesu.

“Slot gembira dengan separuh masa kedua, tetapi perlawanan sudah pun tamat. Mudah bermain apabila kedudukan 2-0 atau 3-0 dan lawan sudah mengendurkan tekanan. Bagi saya, ini memang satu krisis untuk Liverpool.”

Sementara itu, kemenangan tersebut membawa Manchester City ke tangga kedua liga dan mereka kelihatan kembali menemui rentak, walaupun baru-baru ini tewas kepada Aston Villa.

City kini dianggap pencabar terdekat Arsenal dan hanya empat mata di belakang pendahulu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×