Gattuso cabar pemain Itali bangkit

Gattuso cabar pemain Itali bangkit

Gennaro Gattuso
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Pengendali Itali, Gennaro Gattuso menyeru semua pemain memberi komitmen penuh menjelang dua aksi penentu kelayakan Piala Dunia 2026, ketika peluang skuad Azzurri untuk layak secara automatik kini tidak lagi di tangan mereka.

Itali akan beraksi di tempat lawan menentang Moldova esok sebelum menentang Norway di Milan pada Ahad.

Itali ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan I, tiga mata di belakang pendahulu, Norway.

“Ini bukan perlawanan yang mudah. Saya mahu melihat komitmen maksimum supaya kita dapat meneruskan apa yang sudah kita mulakan sejak September.

“Menentang Moldova, kita akan beri peluang kepada pemain yang jarang beraksi, tetapi fokus utama tetap kepada diri kita sendiri, bukan apa yang Norway akan lakukan.

“Perlawanan dengan Moldova lebih penting kerana aksi menentang Norway lebih mudah melakukan persediaan.

“Kita tahu pasukan Norway mampu memberi masalah dengan kelajuan, kekuatan fizikal dan gaya permainan mereka yang luar biasa,” kata Gattuso.

Itali gagal layak dalam dua edisi terakhir Piala Dunia, namun telah mengesahkan tempat ke pusingan play-off sebagai pasukan di tempat kedua kumpulan.

Bagaimanapun, mereka masih mempunyai peluang layak secara automatik ke Piala Dunia di Amerika Utara jika mampu menewaskan Moldova dan Norway dengan kemenangan besar supaya mampu memintas perbezaan gol dengan pasukan diwakili Erling Haaland.

Sejak mengambil alih tugas daripada Luciano Spalletti, yang dipecat selepas kekalahan 3-0 kepada Norway di Oslo pada Jun lalu, Gattuso berjaya menyuntik semangat baharu dalam pasukan Itali dengan empat kemenangan berturut-turut dan 16 gol dijaringkan.

Bekas bintang AC Milan itu, turut menjelaskan bahawa kem latihan khas yang dirancang bagi persediaan play-off pada hujung Mac tidak dapat diteruskan kerana kekangan jadual.

“Sekarang terpulang kepada kami untuk memberikan yang terbaik dengan menilai pemain di dalam dan luar negara,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN