PETALING JAYA: Meskipun hanya perlawanan persahabatan namun kekalahan terbesar skuad bawah 16 tahun (B-16) ditangan Croatia menggambarkan program pembangunan bola sepak tanah air ‘bermasalah’.
Persoalan sama turut ditimbulkan ketika kegagalan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dalam dua kejohanan sebelum ini sekali gus mencerminkan program pembangunan sedia ada kurang memberi impak besar walaupun jutaan ringgit dibelanjakan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, kekalahan besar 0-11 kepada lawan di Eropah jelas membuktikan sistem sedia ada tidak berada di landasan yang tepat walaupun Malaysia telah membawa masuk tenaga kejurulatihan dari luar negara.
Menurut beliau, kekalahan itu bukan isu baharu sebaliknya mencerminkan kegagalan berterusan skuad muda negara biarpun kini dibimbing oleh jurulatih dari Sepanyol, Javier Jorda Ribera.
Tambahnya, pihak berwajib perlu menilai semula matlamat dan keberkesanan program pembangunan yang dijalankan oleh badan bola sepak negara kerana tidak mungkin kekalahan sebesar itu berlaku jika perancangan dilaksanakan dengan betul.
“Kalau jurulatih dari Sepanyol pun tak mampu bantu pasukan mengelak kekalahan seteruk itu, maka sesuatu yang sangat asas dalam pembangunan bola sepak kita perlu diperbetulkan.
“Saya fikir, semua pihak kena semak semula program pembangunan bola sepak negara kita,” katanya.
Beliau yang juga pemegang Diploma Kejurulatihan Profesional AFC, menegaskan, jika skuad B-16 itu merupakan barisan terbaik yang kita ada ketika ini, maka keseluruhan program pembangunan bola sepak negara perlu disemak semula dari akar umbi, termasuk kaedah pemilihan pemain dan pendekatan jurulatih.
“Kalau inilah hasil program yang dijalankan selama ini, maka jelas ada sesuatu yang tidak kena.
“Kegagalan demi kegagalan membuktikan kita masih belum menemui formula sebenar untuk melahirkan generasi pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, ketika di era Datuk Lim Teong Kim (LTK) pada 2017, Malaysia hanya tewas tipis 0-1 kepada Croatia dalam saingan Torneo Delle Nazioni di Itali dan ia merupakan keputusan yang jauh lebih kompetitif berbanding kekalahan teruk kali ini.
Skuad kendalian Javier Jorda Ribera ketika ini menjalani kem latihan fasa dua menerusi penyertaan dalam siri jelajah perlawanan antarabangsa dari 27 Oktober hingga 10 November.
Selepas itu, mereka akan kembali menjalani kem latihan pusat fasa tiga di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang dari 10 hingga 17 November ini sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang akan berlangsung dari 20 hingga 30 November. – UTUSAN










