PARIS: Carlos Alcaraz menutup kempen Paris Masters dengan persembahan yang mengecewakan bukan kerana kekalahan, sebaliknya semangat juang dan ketajamannya seolah-olah hilang di gelanggang.
Menentang Cameron Norrie di pusingan kedua, pemain No. 1 dunia itu kelihatan longlai sebaik memasuki set kedua, melakukan 54 kesilapan tidak paksa sebelum tunduk 4-6, 6-3, 6-4 kepada pemain Britain berusia 31 tahun itu, Rabu lalu.
Bagi Alcaraz, kekalahan ini bukan sekadar menamatkan rentetan sembilan penampilan final berturut-turut sejak April, tetapi juga menimbulkan persoalan tentang ‘kelaparan’ untuk menang yang sering menjadi identitinya.
Bekas pemain ATP, Nicolas Escude, tidak menyorok pandangannya apabila menyifatkan aksi Alcaraz sebagai borderline listless, atau hampir tanpa tenaga dan semangat.
“Kita nampak Alcaraz yang lesu, banyak mengadu tentang rasa pukulan dan berinteraksi panjang dengan pasukannya selepas set kedua.
“Dia seperti melawan dirinya sendiri. Jauh daripada standard yang telah ditunjukkannya sepanjang musim ini. Buat masa ini, hubungan Alcaraz dengan kejohanan Paris memang nampak rumit,” kata Escude.
Walaupun kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pemain No.1 dunia, persembahan hambar di penghujung musim menimbulkan tanda tanya tentang ketahanan mentalnya selepas kempen luar biasa 2025 yang menyaksikan dia merangkul lapan kejuaraan termasuk dua Grand Slam.
Tanpa menafikan kehebatan Norrie yang bermain disiplin dan tenang, persembahan Alcaraz di Paris seolah memberi isyarat bahawa bintang muda Sepanyol itu mula keletihan selepas musim panjang yang penuh tekanan.
Kini tumpuan beralih kepada ATP Akhir yang berlangsung di Turin, Itali November ini sekali gus menjadi medan terakhir buat Alcaraz menutup musim hebatnya dengan cara yang lebih meyakinkan. – AGENSI/UTUSAN










