Alcaraz hampiri status No. 1 dunia

Alcaraz hampiri status No. 1 dunia

Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz membalas bola pukulan lawannya Taylor Fritz dalam aksi ATP Finals di Turin, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURIN: Carlos Alcaraz bangkit menewaskan Taylor Fritz pada aksi ATP Final, semalam sekali gus menghampiri status selaku pemain No.1 dunia hujung musim ini buat kali kedua.

Bintang Sepanyol berusia 22 tahun itu meraih kemenangan dramatik 6-7 (2/7), 7-5, 6-3 ke atas finalis tahun lalu, menjadikannya dua menang daripada dua perlawanan di Pala Alpitour, Turin.

Alcaraz sepatutnya sudah layak ke separuh akhir jika Alex de Minaur berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Lorenzo Musetti, namun pemain Itali itu melakukan kejutan dengan kemenangan 7-5, 3-6, 7-5.

“Saya sangat gembira kerana dapat bangkit dan menemui semula rentak permainan sebenar. Saya hanya cuba manfaatkan peluang yang dia (Fritz) berikan, dan saya rasa kami beraksi dengan cukup baik,” kata Alcaraz.

Juara lima kali Grand Slam itu, kini hanya perlu menewaskan Musetti pada aksi terakhir Khamis ini untuk menamatkan musim 2025 di ranking tertinggi dunia.

Pesaing terdekatnya, Jannik Sinner, perlu mempertahankan gelaran ATP Final tanpa kalah sekiranya mahu mengekalkan kedudukan No.1 dunia buat tahun kedua berturut-turut.

“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya (ranking No.1 dunia). Sudah tentu ia akan jadi perlawanan besar,” jelas Alcaraz.

Kemenangan itu juga menyaksikan Alcaraz kini mendahului 5-1 dalam rekod pertemuan dengan Fritz, dengan satu-satunya kemenangan pemain Amerika Syarikat itu ke atas pemain Sepanyol tersebut adalah ketika Piala Laver, September lalu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×