“ADIL ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya.” – Buya Hamka.
Mungkin ramai sudah lupa. Pada 2017 riuh negara dengan desas-desus penganjuran Jerusalem Jubilee oleh kumpulan Kristian, All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC).
Meskipun mereka berkeras acara tersebut tiada unsur zionisme namun poster yang tersebar bukan sahaja menunjukkan elemen bahasa Ibrani tetapi juga dengan jelas meletakkan Malaysia sebagai pusat atau Pintu Gerbang Emas, untuk penjajaran negara-negara ASEAN menyokong kedatangan ‘King of Glory’ bagi pembentukan Kerajaan Kristian Sedunia.
Malah penganjuran juga dengan strategik memilih tarikh ulang tahun ke-50 kejayaan rejim Zionis Israel merampas Baitulmaqdis.
Meskipun anjuran acara tersebut akhirnya diharamkan selepas menerima tentangan orang ramai. Namun imej Jalur Gemilang dijahit bersama dengan bendera Israel telah tersebar. Apabila ditelusuri, imej-imej tersebut dipetik daripada satu upacara, yang dikatakan daripada kumpulan sama, yang kononnya berkumpul hanya untuk berdoa dan mendengar syarahan agama.
Mungkin ramai yang akan tertanya, jika kumpulan mereka adalah benar Kristian mengapa mereka menyokong Israel? Pertanyaan sebegini wajar kerana pada pandangan seorang yang waras dan munasabah, sokongan mana-mana penganut Kristian kepada rejim Zionis Israel bukan sahaja suatu paradoks tetapi juga ironis.
Ironi kerana bukankah rejim zalim dan angkuh itu turut menindas penganut Kristian di Gaza? Malah bukankah rejim yang dilaknat itu dengan biadab mengebom satu-satunya gereja Katolik di Gaza ketika bangunan itu menjadi tempat perlindungan orang awam?
Pemikiran berlandaskan logik tidak terpakai dalam memahami mengapa Zionisme menular dalam kalangan penganut Kristian kerana ada pecahan Zionis Kristian yang meyakini Baitulmaqdis dijanjikan kepada orang Yahudi oleh Tuhan seperti yang kononnya termaktub dalam kitab Taurat.
Pegangan utama Zionisme Kristian adalah kepercayaan penubuhan semula negara haram Israel adalah pembuka jalan untuk kembalinya Nabi Isa dan penubuhan kerajaan Kristian Sedunia.
Kedengaran penuh paradoks tetapi itulah fahaman yang dipegang juga oleh sesetengah penganut Kristian di Malaysia memandangkan mereka meyakini Bab Genesis dalam Kitab Taurat menyatakan sedemikian.
Jika difahami dari sudut ini, meskipun terasa janggal wujud Zionis Kristian di negara ini, namun tidaklah terlalu aneh dan masih boleh diterima akal waras.
Namun, yang janggal, aneh dan amat canggung sehingga menghilangkan kewarasan adalah percubaan memahami mengapa wujud Zionis Melayu yang mengaku Islam. Biarpun pahit ditelan, namun mereka wujud di Malaysia, yang mana negara ini dengan jelas dan nyata tanpa sekelumit kerugian meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Dalam masa sama tidak menidakkan hak agama lain diamalkan secara aman.
Baru-baru ini tular ciapan di media sosial seorang figura berbangsa Melayu yang mengaku beragama Islam memberikan sokongan agar pegangan dan fahaman Zionis juga diberikan ruang untuk ‘pencerahan’ kepada masyarakat umum di Malaysia.
Dalam minggu ini juga tular gambar sebuah kereta pacuan empat roda di Melaka ditampalkan pelekat dalam bahasa Ibrani yang diterjemahkan sebagai memaparkan mesej ‘Malaysia milik kami’.
Sokongan mereka bukan lagi paradoks yang ironis tetapi kebebalan yang menebal. Setiap prinsip negara ini dengan jelas menentang kezaliman Israel yang berterusan di Gaza.
Bagaimana mungkin sebagai rakyat Malaysia yang menyaksikan ribuan imej dan video mayat rakyat Gaza dibunuh dengan kejam boleh memejamkan mata dan memberi sokongan kepada Zionisme?
MENOLAK KEZALIMAN BUKAN PILIHAN, TAPI PRINSIP
Tidak masuk dek akal apabila nama Malaysia tersohor serata dunia sebagai penentang keras kekejaman genosid yang dilancarkan Israel. Namun ada rakyat yang tidak menyokong prinsip sama.
Bahkan dalam pada 34 orang rakyat negara ini dengan berani menyambut cabaran menyertai Global Sumud Flotilla, ada yang tega mempersendakan.
Sedangkan umum tahu gerakan ini dianjurkan bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang sedang dalam kebuluran dan penindasan yang teruk.
Malah Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh, pernah diculik oleh tentera Israel pada 2018 turut kembali menyertai melalui Gelombang Ketiga. Selepas 13 orang diculik tentera Israel, semakin lantang suara Zionis Melayu memperlekehkan usaha gerakan ini.
Usaha dan kerjasama pelbagai negara dilancarkan bagi menyatakan dengan keras apa yang dilakukan Israel bukanlah manifestasi janji Tuhan.
Mustahil Tuhan yang diyakini sebagai pemurah, penyayang dan pengampun menjanjikan negara zalim yang membunuh ratusan ribu kanak-kanak tanpa dosa sejak negara itu ditubuhkan.
Lebih canggung lagi, Zionisme menekankan hanya bangsa Yahudi yang layak disanjung dan diangkat sebagai bangsa pilihan Tuhan.
Sebagai orang Melayu beragama Islam, menyokong fahaman sebegini bukan saja merendahkan keyakinan kepada agama suci Islam tetapi juga membenarkan unsur rasisme berleluasa kononnya wujud ‘bangsa terpilih’.
Sedangkan negara Malaysia dibentuk atas dasar saling menghormati semua budaya dan agama dalam negara ini.
Selepas ini jika Zionis Melayu berani bersuara, mereka bukan lantang dan berfikiran luar daripada kotak tetapi sebenarnya bebal.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










