PETALING JAYA: Pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa menegaskan Uruguay menjanjikan aksi terbaik dan tetap bersemangat tinggi bagi mencatat kemenangan ke atas Republik Dominika dalam aksi persahabatan antarabangsa, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Pasukan yang berada di ranking ke-15 dunia itu, bagaimanapun tidak menurunkan barisan terkuat berikutan tanpa kelibat beberapa pemain bintang antaranya Federico Valverde (Real Madrid), Ronald Araujo (Barcelona), Darwin Nunez (Al Hilal) dan Manuel Ugarte (Manchester United).
Meskipun tanpa pemain bintang, Bielsa optimis barisan pemain yang berada dalam pasukan ketika ini mampu menewaskan Republik Dominika yang berada di kedudukan ke-145 dunia itu.
“Ini bukan soal siapa yang tiada, tetapi peluang buat pemain muda membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
“Saya percaya mereka mampu memberikan sesuatu yang berbeza buat pasukan,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, semalam.
Bielsa yang terkenal dengan gaya taktikal agresif serta pernah membimbing kelab ternama seperti Marseille, Lazio dan Leeds United, berkata, perlawanan itu bukan sekadar ujian pemanas badan, sebaliknya langkah penting menuju kempen Piala Dunia 2026.
“Saya sudah dua tahun bersama Uruguay dan kami mahu gunakan perlawanan ini untuk membina keserasian dan memperkukuh pilihan pemain bagi masa depan,” jelas pengendali berusia 70 tahun itu.
Semua 17 pemain yang menyertai kem latihan pusat di Kuala Lumpur sejak Isnin lalu berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk memperagakan aksi mantap di hadapan penyokong tempatan.
Sementara itu, pihak penganjur turut mengumumkan penurunan harga tiket susulan ketiadaan beberapa tonggak utama Uruguay bagi aksi di Bukit Jalil.
Ketiadaan nama besar itu bagaimanapun tidak menjejaskan keterujaan peminat yang menantikan peluang menyaksikan pasukan gergasi Amerika Selatan itu beraksi buat kali pertama di Malaysia.
Selepas aksi menentang Republik Dominika, Uruguay akan bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka, bagi aksi menentang Uzbekistan pada Isnin, sebagai sebahagian siri jelajah Asia mereka. – UTUSAN










