‘Saya bukan model!’

‘Saya bukan model!’

Ketua jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa memberikan arahan dari tepi padang ketika aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026 menentang Arab Saudi di Stadium Miami, Miami Gardens, awal pagi tadi, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Bos Uruguay, Marcelo Bielsa sekali lagi mencuri perhatian di Piala Dunia 2026 apabila terlibat dalam pertikaman lidah dengan seorang wartawan selepas aksi Uruguay menentang Arab Saudi, awal pagi tadi.

Jurulatih berusia 70 tahun itu dilihat kurang senang apabila ditanya mengenai gambar rasmi Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang memaparkannya memandang ke bawah dan bukannya ke arah kamera.

Persoalan tersebut timbul selepas ada pihak membuat spekulasi bahawa tindakan Bielsa itu mungkin membawa mesej tertentu atau berbentuk protes terhadap badan bola sepak dunia berkenaan.

Bagaimanapun, pengendali Uruguay yang terkenal dengan gelaran El Loco itu menegaskan beliau tidak perlu memberikan sebarang penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak perlu memberikan sebarang penjelasan, gambar itu diambil seperti mana ia diambil.

“Saya bukan model,” katanya.

Bielsa kemudian terus menunjukkan rasa tidak puas hati apabila menganggap persoalan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan bola sepak atau perlawanan yang baru berakhir.

“Tidak, tidak, saya tiada jawapan untuk itu.

“Perlukah saya juga menjelaskan mengapa saya tidak memandang orang yang sedang bercakap dengan saya sekarang?” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ada batas tertentu terhadap perkara yang perlu dijelaskan kepada media sambil menyifatkan tindakan memakai cermin mata, memandang seseorang atau melihat ke bawah bukan sesuatu yang memerlukan penjelasan panjang lebar.

Bielsa yang pernah mengendalikan Argentina, Athletic Bilbao, Lazio dan Leeds United sememangnya terkenal dengan sikap eksentrik serta pendekatan tersendiri, namun beliau kekal dihormati ramai jurulatih termasuk Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino kerana pengaruh besar yang dibawanya dalam dunia bola sepak moden. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN