Cape Verde pasang impian, Uruguay semakin tertekan

Cape Verde pasang impian, Uruguay semakin tertekan

KEVIN Pina menjadi wira Cape Verde apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Piala Dunia 2026 menentang Uruguay, semalam-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Cape Verde semakin hampir melakar sejarah pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia 2026 apabila mengintai slot ke pusingan kalah mati selepas mengikat Uruguay 2-2 dalam aksi Kumpulan H, semalam.

Jurulatih Cape Verde, Bubista berkata, keputusan itu membuktikan pasukannya mampu bersaing di pentas tertinggi selepas turut mengikat Sepanyol tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan.

Pasukan ranking ke-63 dunia itu kini hanya memerlukan kemenangan ke atas Arab Saudi pada aksi terakhir kumpulan untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik.

“Sejak awal lagi kami mahu bersaing di tahap tertinggi dan itulah yang kami lakukan. Lebih penting daripada keputusan ialah kami berjaya menunjukkan identiti, perpaduan dan ketahanan sebagai sebuah pasukan,” kata Bubista.

Cape Verde yang turun tanpa rasa gentar mendahului menerusi sepakan percuma menarik Kevin Pina sebelum bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Helio Varela.

“Kami berada di sini untuk bersaing dan cuba mencapai impian baharu iaitu layak ke pusingan kedua. Pada ketika ini, itulah yang kami fikirkan,” katanya.

Sementara itu, pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa mengakui bingung apabila pasukannya sekadar mengutip dua mata daripada dua perlawanan meskipun percaya mereka sepatutnya meraih enam mata penuh.

Selepas seri 1-1 dengan Arab Saudi, La Celeste sekali lagi tercicir mata apabila diikat Cape Verde, dengan Bielsa menyifatkan beberapa kesilapan pertahanan menjadi punca utama kegagalan pasukannya meraih kemenangan.

“Kesilapan organisasi dalam pasukan akhirnya kembali kepada jurulatih. Namun dalam bola sepak tiada resipi ajaib untuk memperbaikinya dengan segera,” katanya.

Uruguay kini berkongsi kedudukan kedua Kumpulan H bersama Cape Verde, dua mata di belakang pendahulu, Sepanyol, sekali gus menjadikan aksi terakhir menentang juara Eropah itu sebagai perlawanan wajib menang jika mahu meneruskan cabaran.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN