KUALA LUMPUR: Penyertaan Algeria dan Uruguay dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) akan membuka laluan kerjasama yang lebih mendalam serta pemahaman yang lebih kukuh antara ASEAN dan rantau kedua-dua negara tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, malah kerjasama itu juga mencerminkan pendekatan ASEAN yang berpandangan jauh ke hadapan di samping komitmen bagi membina perkongsian berasaskan kepercayaan demi manfaat bersama.
“Penyertaan Uruguay dan Algeria merupakan suatu detik bersejarah. Sejak diperkenalkan pada tahun 1976, TAC telah menjadi asas utama komitmen ASEAN terhadap hubungan antara negara yang aman.
“Prinsip-prinsipnya yang kekal menghormati kedaulatan, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara, penyelesaian pertikaian secara aman, dan penolakan ancaman atau penggunaan kekerasan kekal relevan sehingga ke hari ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Algeria dan Uruguay atas pencapaian yang amat bermakna ini. Kita menantikan kerjasama erat di bawah kerangka TAC dalam semangat persahabatan, saling menghormati dan kewujudan secara aman,” ujarnya pada Majlis Menandatangani Dokumen Penyertaan TAC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. di sini, hari ini.
Penyertaan kedua-dua negara itu menjadikan jumlah keseluruhan penandatangan TAC meningkat kepada lebih 50 buah negara. Ia termasuk kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, India, Kesatuan Eropah dan Russia.
TAC yang dimeterai pada 1976 merupakan asas kepada hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar yang menekankan penyelesaian aman pertikaian, penghormatan kepada kedaulatan, serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.
Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan Luar Negara Algeria, Ahmed Attaf berkata, pihaknya berbesar hati menyertai TAC dan menjadi sebahagian daripada komuniti bersama anggota negara ASEAN.
Katanya, ASEAN merupakan sebuah organisasi yang telah membuktikan melalui tindakan, hasil dan pencapaian bahawa kerjasama serantau mampu membawa perubahan besar, memperkukuh kestabilan, dan menjana kemakmuran bersama untuk semua.
“Dengan menyertai TAC hari ini, kami ingin menambah dimensi baharu kepada hubungan dua hala ini yang merangkumi ASEAN yang bersuara secara kolektif dan semakin berpengaruh di peringkat global.
“Dalam semangat ini, kami juga ingin memperkukuh penglibatan kami bersama ASEAN, menjadi rakan dua hala yang boleh diterima, kami dengan rendah hati memohon sokongan dan pengiktirafan berterusan daripada semua,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin menyifatkan TAC sebagai permulaan kepada platform menyampaikan mesej secara menyeluruh bagi mengubah suatu dasar dan pelan tindakan ke arah yang lebih inklusif.
“Kita perlu ubah cara kita berfikir dan bekerjasama. Tandatangan simbolik ini juga bukan hanya sekadar tandatangan. Inilah sebab saya berada di sini dan saya amat berbesar hati bersama Menteri Luar Malaysia.
“Bayangkan apa yang boleh terjadi jika kita bekerjasama dengan lebih baik? Bagaimana kita boleh memanfaatkan ia dalam bentuk kecerdasan buatan (AI)? Kerana kita mempunyai maklumat kukuh dan ini menjadi titik penting bagi mewujudkan kerjasama yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










