DALAM politik, ada waktunya “hendak cakap pun susah, tak cakap pun susah.” Begitulah realiti yang sedang dihadapi UMNO ketika ini. Walaupun berada dalam kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan pemegang kuasa mutlak, menyebabkan banyak keputusan penting berada di tangan pihak lain.
Namun begitu, UMNO tetap teguh berpegang pada prinsip perjuangannya meskipun berdepan situasi yang mencabar.
Dalam wawancara bersama Naib Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN, beliau menjelaskan kesedaran terhadap kedudukan semasa menjadikan UMNO lebih realistik dan berhati-hati dalam menentukan langkah politiknya.
Berkongsi pandangan dengan wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, dibantu jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI serta juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD. IDERIS, beliau yang juga Menteri Pertahanan menegaskan perjuangan sebenar tidak diukur ketika berada di zon selesa, sebaliknya pada keupayaan untuk terus bertahan dalam waktu sukar.
“Di sinilah UMNO sedang membuktikan kekuatan dan kematangan politiknya,” ujarnya menyimpulkan daya tahan, kesetiaan dan kebijaksanaan strategi menjadi kunci kelangsungan parti dalam landskap politik semasa yang semakin kompleks.
UTUSAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan UMNO dan BN akan bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo BN. Bagaimana Datuk Seri melihat dan menyambut pendirian tersebut?
MOHAMED KHALED NORDIN: Memang wajar kerana kerajaan sedia ada ini terbentuk hasil kerjasama antara beberapa parti politik, bukannya melalui satu gabungan.
Kerjasama politik ini pada asalnya diwujudkan bagi dua perkara iaitu untuk membawa negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19 dan supaya negara dapat terus dibangunkan untuk kesejahteraan rakyat.
Sebenarnya, kita tidak pernah terfikir untuk bertanding menggunakan lambang parti lain atau wujudkan kerjasama gabungan sebelum pilihan raya yang menggunakan satu simbol. Yang kita percaya terbaik adalah terus bertanding atas lambang sendiri tetapi mungkin perlu ada perbincangan supaya tidak berlaku pertindihan.
Sepanjang tempoh pilihan raya, kita mempunyai fleksibiliti untuk menentukan bentuk kerjasama dan kerajaan yang ingin dibentuk selepas itu.
Satu hakikat yang perlu diterima ialah dalam landskap politik hari ini, hampir mustahil bagi mana-mana parti politik memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Kita kini berada pada tahap di mana negara akan terus ditadbir kerajaan yang terdiri daripada gabungan beberapa parti.
Bagaimana kekuatan UMNO/BN itu sendiri? Sudah cukup kuat untuk mengekal dan menarik sokongan baharu?
Kita banyak musuh, kita bersaing dengan banyak parti. Tentunya parti-parti lain akan menidakkan UMNO dan BN. Kononnya UMNO/BN sudah lari daripada perjuangan, tidak lagi seperti sebelum ini. Kita tetap merupakan sebuah parti yang akarnya adalah nasionalisme Melayu dan tidak akan tersasar untuk terus memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam.
Sekarang ini, kita hanya menyesuaikan diri dan bersikap adaptif terhadap perubahan dalam jajaran politik. Namun begitu, penyesuaian ini tidak bermakna kita mengubah prinsip atau nilai perjuangan. Kita tetap membawa perjuangan nasionalisme Melayu, Islam, serta kepentingan orang Melayu. Sebab itu, tidak kira kerajaan siapa pun, prinsip itu kita bawa. Jika ada perkara yang bertentangan, kita akan bersuara.
Kalau perlu membebaskan diri daripada sebarang perkara yang boleh memudaratkan orang Melayu, kita sanggup berbuat demikian. Namun pada masa ini, kita melihat banyak kelebihan dan manfaat yang boleh dimanfaatkan daripada kerjasama sedia ada, antaranya memastikan negara terus dibangunkan.
Cuba kita lihat keadaan semasa, walaupun dunia sedang berdepan perubahan geopolitik, ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan banyak sektor serta ketegangan perdagangan dan peperangan di beberapa rantau, negara kita masih dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi tahun hadapan. Ini menunjukkan potensi pembangunan masih besar jika kestabilan terus dikekalkan.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi, ada perancangan mengelakkan pertembungan antara parti?
Itu kena tanya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, saya tidak boleh jawab. Mungkin saya ada pandangan berbeza tapi itu kena tanya dia. Kita masih belum berbincang lagi mengenai hal ini.
Bagaimana pula dengan isu MIC dan MCA?
Ketika BN ditubuhkan dahulu, terdapat beberapa perkara asas yang menjadi pegangan kami. Kita menerima hakikat negara ini ialah sebuah negara majmuk di mana setiap rakyat memainkan peranan penting dan kita menghormati semangat kebersamaan semua kaum.
Parti-parti yang berkongsi nilai serta matlamat yang sama bersetuju untuk membentuk BN. Konsep yang kita pegang ialah tidak berasaskan asimilasi. Kita tidak mahu semua menjadi sama, sebaliknya menghargai, mengekalkan identiti serta keunikan setiap kaum.
Walaupun identiti kaum dikekalkan, masih banyak perkara yang boleh diusahakan bersama, khususnya dalam membangunkan dan memajukan negara. Itulah yang dibawa kepada rakyat dan mereka menerimanya. Pendekatan kita ialah setiap kaum dan parti perlu membawa sokongan daripada komuniti masing-masing, itulah asas konsepnya.
Namun, lama-kelamaan perkara itu tidak berjalan seperti diharapkan. Sebab itu, perlu menilai semula pendekatan tersebut dan berusaha memastikan ia berjaya dilaksanakan, kerana jika tidak, kekuatan BN akan terjejas.
Alasan diberikan MIC dan MCA kerana terpinggir dalam Kerajaan Perpaduan, komen?
Hendak cakap pun susah, tak cakap pun susah. Saya percaya dalam politik ini kadang kala tidak boleh tuntut, tidak boleh paksa.
Kita sedar UMNO hanyalah sebahagian kecil daripada kerajaan yang ada pada hari ini. Oleh itu, UMNO tidak mempunyai kuasa penuh untuk membuat atau menentukan setiap keputusan kerana sebahagian daripadanya berada di tangan pihak lain.
Bukan bermakna UMNO tidak berusaha tetapi kita perlu menerima hakikat tentang kedudukan semasa parti. Kita tidak berada dalam situasi yang membolehkan kita memenuhi semua kehendak pihak lain.
Dalam perjuangan, ada masa senang dan ada masa susah. Namun, pada waktu susahlah sebenarnya teruji perjuangan, prinsip, kesabaran dan pengorbanan.
Kita tidak boleh berfikiran dalam keadaan kalah pun mesti mendapat sesuatu, apatah lagi ketika menang. Hakikatnya, dalam situasi kalah atau tidak menguasai semuanya, kita perlu menerima keadaan seadanya.
UMNO sentiasa memikirkan sahabat-sahabat setianya yang telah lama bersama perjuangan ini. UMNO tahu siapa yang benar-benar setia, cuma mungkin belum tiba masanya untuk memenuhi semua kehendak mereka.
Bukan kerana UMNO tidak mahu tetapi kerana UMNO memang tidak mampu. Ini kerana keputusan tersebut bukan sepenuhnya berada di tangan UMNO. Kalau keputusan itu terletak pada UMNO, kalau diminta satu, mungkin kita akan beri tiga.
Adakah kemungkinan bekerjasama dengan Pas dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula, ini kerana Presiden UMNO kata pintu kerjasama tidak ditutup rapat?
Itu adalah keputusan yang perlu dibuat secara berjemaah melibatkan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO. Buat masa ini, kita tidak pernah memikirkan soal tersebut.
Kita juga tidak mahu mengulangi keadaan seperti dahulu ketika wujudnya MN. Saya percaya, kita tidak ingin perkara itu berulang. Dulu, ia mungkin disebut kembali atas tujuan menghadapi pilihan raya tetapi akhirnya apabila dilihat ada kepentingan lain, isu tersebut diketepikan kerana tidak membawa sebarang manfaat yang sebenar.
Banyak kali kita katakan sebelum ini ada pihak yang tidak ikhlas dalam tindakan dan penampilan mereka. Apabila tiba masanya, kita perlu sedar. Kita bukan tidak mempunyai pengalaman. Sebab itu, kita mesti terus berusaha. –UTUSAN










