PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merupakan individu yang bertanggungjwab mengusulkan agar negaranya mengambil alih Gaza dan memindahkan hampir dua juta penduduk Palestin ke negara-negara jiran secara tetap.
Beliau berkata demikian dalam konferensi pers di Washington. Trump ketika itu secara mengejutkan mengusulkan agar AS ‘mengambil alih’ jalur Gaza. Trump sebelumnya meminta Mesir dan Jordan agar menerima warga Palestin dari Gaza untuk tinggal di sana. Namun, kedua negara tersebut menolak dengan tegas.
Tindakan Trump yang bertindak ‘sesuka hati’ dengan memaksa negara lain menerima warga Palestin yang dihalaunya itu dianggap tidak sah di sisi undang-undang malah dikritik keras bukan sahaja oleh dunia Arab tetapi juga masyarakat antarabangsa.
Langkah Trump untuk mengambil alih wilayah berdaulat Palestin itu untuk dijadikan pemilikannya sangat tidak bertanggungjawab serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Sejak tamat Perang Dunia Kedua pada 1945, undang-undang antarabangsa dengan tegas melarang penggunaan kekerasan bagi menduduki atau merampas mana-mana wilayah berdaulat. Prinsip ini menjadi dasar utama sejak penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun begitu, AS selaku pelindung dan sekutu utama negara haram Israel sering mengabaikan ketetapan tersebut.
Sikap Israel yang membenarkan AS mengambil alih serta mentadbir Wilayah Gaza jelas merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa. Hakikatnya, baik Israel mahupun AS, kedua-duanya tidak mempunyai sebarang hak ke atas wilayah tersebut. Malah, Mahkamah Antarabangsa menegaskan Gaza adalah wilayah yang dijajah.
Menyedari hakikat itu, Trump berusaha mencari jalan untuk mengelakkan dakwaan melanggar hukum dengan cuba mendapatkan persetujuan daripada Palestin dan rakyatnya.
Tindakan tersebut pelik. Bagaimana pemimpin AS itu mahu mendapatkan persetujuan daripada Palestin sedangkan dalam masa sama tidak berhenti melaksanakan kekerasan dengan mengarah keluar warga Gaza dari wilayahnya.
Fasal 49 Konvensyen Geneva melarang negara penjajah memindahkan atau mengeluarkan individu atau penduduk dari sesuatu wilayah itu secara paksa. Hukum itu juga melarang negara lain untuk membantu negara penjajah dalam melaksanakan rancangan mereka kerana melanggar hukum kemanusian antarabangsa.
Undang-undang antarabangsa hanya membenarkan kuasa penjajah memindahkan penduduk di wilayah yang didudukinya atas alasan keselamatan dan perlindungan sementara. Namun, Trump dilihat cuba memanipulasi peraturan ini dengan berulang kali menggambarkan Gaza sebagai kawasan bahaya dalam zon perang selain mendakwa penduduknya perlu dipindahkan demi keselamatan.
Hakikatnya, perang yang melampaui batas kemanusiaan itu dirancang oleh mereka sendiri. Inilah helah Trump yang akhirnya memberi ruang kepada tentera Zionis untuk terus menyerang dan membunuh rakyat Palestin di Gaza, dengan sokongan bekalan senjata, dana kewangan serta strategi jahat bagi menduduki wilayah tersebut.
Hakikatnya, tangan Trump turut berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Dalam konflik yang dicipta oleh Israel bersama Amerika Syarikat, beliau cuba berdalih atas nama keamanan dan keselamatan untuk mengarahkan penduduk Gaza keluar dari tanah mereka. Sedangkan, pemindahan penduduk dari sesuatu wilayah hanya boleh dilakukan dengan persetujuan bersama seluruh warga Palestin. Ia sama sekali tidak boleh dipaksa ke atas sesiapa yang enggan berpindah.
Justeru, tindakan memindahkan penduduk Gaza atas alasan ancaman dan keamanan tidak boleh dianggap sebagai persetujuan, sebaliknya merupakan ugutan. Mengancam mereka akan mati sekiranya enggan meninggalkan tanah air hanyalah satu lagi bentuk kekerasan terhadap rakyat Palestin.
Lebih buruk lagi, sekatan bantuan kemanusiaan dari luar menunjukkan betapa Israel dan AS bersungguh-sungguh melaksanakan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Antara definisi pembersihan etnik (genosid) ialah usaha menjadikan sesuatu wilayah homogen dari segi etnik dengan menggunakan kekerasan atau intimidasi bagi mengusir kelompok tertentu daripada kawasan tersebut.
Hakikatnya, Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersungguh-sungguh melaksanakan rancangan meskipun ia jelas melanggar prinsip jus cogens, iaitu norma asas dan utama dalam undang-undang antarabangsa.
Atas pelanggaran tersebut, Trump dan Netanyahu seharusnya dipertanggungjawabkan di bawah kerangka undang-undang antarabangsa.
TIADA TINDAKAN
Bukankah sebelum ini Mahkamah Antarabangsa mengeluarkan perintah tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel berhubung konflik di Gaza? Namun, perintah tersebut seolah-olah tidak diendahkan kerana tiada pihak yang berani menguatkuasakannya.
Dalam keadaan itu, tindakan Trump bagi menjayakan rancangannya terhadap Gaza jelas tidak berperikemanusiaan, malah sikap mereka seakan-akan menganggap penduduk Gaza sebagai ‘binatang’ yang boleh dibunuh sesuka hati.
Tindakan tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada doktrin Zionis Israel. Doktrin ini berasaskan pemikiran sempit yang melakukan ‘dehumanisasi’ terhadap bangsa-bangsa lain yang bukan Yahudi, termasuk rakyat Palestin.
Fahaman songsang inilah yang mendorong berlakunya pelbagai pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin, sekali gus melanggar aturan perang serta mencabuli nilai-nilai kemanusiaan antarabangsa.
Sikap Trump yang beria-ia mahu mengambil alih wilayah Gaza, merestui tindakan genosid oleh tentera Zionis Israel serta menyokong pemindahan paksa penduduk asal memberi kesan buruk terhadap peraturan dan hukum antarabangsa, seolah-olah aturan tersebut boleh dengan mudah dilanggar oleh sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka kuat dan berkuasa.-UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










