Real Madrid harapkan sentuhan Mbappe

Real Madrid harapkan sentuhan Mbappe

Kylian Mbappe menjadi harapan Real Madrid untuk menjinakkan Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Real Madrid kini berada dalam mood terbaik bagi melayani kunjungan Juventus pada aksi Liga Juara-Juara (UCL) di Stadium Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

Kemenangan 1-0 ke atas Getafe membolehkan Real kembali merampas kedudukan teratas La Liga dengan memiliki kelebihan dua mata ke atas pencabar terdekatnya, Barcelona.

Prestasi cemerlang Kylian Mbappe yang terus mencetak gol dalam 11 perlawanan berturut-turut bersama Real, meletakkan bintang Perancis itu sebagai sandaran merobek benteng Juventus.

Gandingan Mbappe bersama Vinicius Jr bakal menjadi taruhan pengendali Real, Xabi Alonso sekali lagi, selepas memuji prestasi kedua-dua pemain itu pada aksi La Liga.

Kata Alonso, kedua-dua pemain mempunyai peranan masing-masing dan sangat melengkapi untuk mencorakkan jentera serangan pasukan.

“Vinicius mempamerkan impak yang berkualiti walaupun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian. Kehadirannya memberi dimensi berbeza buat jentera serangan kami dan berjaya menggegarkan benteng pertahanan lawan.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dakwaan kita terlalu bergantung dengan Mbappe tetapi ketika ini dia berada pada tahap terbaik.

“Tentunya menentang Juventus adalah perlawanan yang sukar tetapi saya percaya para pemain mampu mencatat kemenangan terutama bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Alonso juga berharap penjaga golnya, Thibaut Courtois mampu mengekalkan prestasi terbaiknya selepas melakukan aksi menyelamat penting bagi membolehkan pasukannya meraih tiga mata, pada perlawanan sebelum ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN