Nurul Izzah sudah sedia turun gelanggang

Nurul Izzah sudah sedia turun gelanggang

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menjadi sandaran tunggal pelumba Malaysia ke Kejihanan Dunia di Chile. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meletakkan sasaran realistik untuk memperbaiki catatan masa pecut sekali gus menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 di Santiago, Chile yang bermula esok.

Pelumba berusia 22 tahun itu menjadi sandaran tunggal Malaysia selepas skuad pecut lelaki gagal menepati masa kelayakan pada ujian pemilihan di Velodrom Nasional, Nilai September lalu.

Meskipun berjuang seorang diri tanpa rakan sepasukan seperti Anis Amira Rosidi, Nur Alyssa Mohd Farid dan Aliana Syafiqah Azizan, Izzah tetap bersemangat tinggi untuk membawa panji negara di pentas berprestij dunia itu.

“Sudah tentu saya rasa sunyi sebab sudah terbiasa dengan rakan sepasukan, tetapi saya sudah pernah berpengalaman seperti ini di Olimpik Paris 2024. Jadi saya boleh biasakan diri,” kata Izzah.

Izzah yang ditemani pengarah kejurulatihan kebangsaan, John Beasley, ketua jurulatih Harnizam Basri dan seorang ahli terapi urut wanita kini memberi tumpuan penuh kepada usaha memperkemas kayuhan serta memperbaiki catatan masa dalam acara pecut aksi kelayakan Flying 200 meter (m).

“Kalau saya dapat membuat catatan masa di bawah 10 saat (s) sudah tentu boleh layak ke saingan seterusnya.

“Saya nak buat lebih baik daripada sebelum ni dan memperbaiki catatan masa saya supaya boleh fight dengan pelumba hebat seperti Emma Finucane dan Mina Sato,” katanya.

Menurutnya, prestasi semasa menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila catatan masa kini semakin hampir ke tahap kelayakan automatik untuk ke pusingan seterusnya.

“Catatan masa sudah semakin baik dan saya harap boleh kekalkan atau buat yang lebih baik di Santiago nanti,” katanya.

Pada edisi lalu di Ballerup, Denmark, Izzah menamatkan saingan di tempat ke-21 bagi acara pecut dan ketujuh dalam keirin, namun kali ini beliau yakin mampu memperbaiki pencapaian tersebut.

Izzah bakal membuka tirai saingan dalam acara pecut pada Khamis pukul 10 malam ini sebelum turun bagi keirin pada Ahad, membawa harapan Malaysia untuk terus bersinar di pentas dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN