PETALING JAYA: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri mengakui kemunculan pelumba muda yang semakin pantas dan berani menjadi cabaran besar buatnya selepas tersingkir awal dalam acara keirin wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile, kelmarin.
Pelumba berusia 22 tahun itu menyifatkan peningkatan mendadak generasi baharu dalam saingan keirin wanita sebagai satu perkembangan positif yang mendorong semua pelumba, termasuk dirinya untuk tidak leka dan terus memperbaiki prestasi.
“Ya, memang nampak peningkatan ketara dari pelumba muda, mereka laju, berani dan semakin kompetitif. Bagi saya itu satu perkara yang positif sebab ia tolak semua pelumba termasuk saya sendiri untuk terus maju dan tak selesa di zon sekarang.
“Ia satu cabaran yang sihat dan bagi motivasi untuk saya terus bekerja keras,” kata Izzah ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Izzah menamatkan saingan di tempat ketiga saringan pertama di belakang juara dunia dua kali, Emma Finucane dari Britain dan Haruka Nakazawa dari Jepun sebelum tersingkir di repechage.
Namun, pelumba kelahiran Kedah itu menegaskan kekalahan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk bangkit dengan lebih matang dan konsisten dalam musim perlumbaan akan datang.
“Prestasi saya kali ini tak seperti diharapkan, tapi saya anggap ini sebahagian daripada proses pembelajaran untuk saya jadi lebih baik selepas ini,” katanya.
Menurutnya, beliau bersama pasukan kejurulatihan akan menilai semula taktikal dan kekuatan fizikal selepas pulang ke tanah air bagi memperkukuh persiapan menghadapi musim baharu. – UTUSAN











