KUALA LUMPUR: Perlumbaan Austral Wheelrace di Melbourne menjadi pentas pemanas badan bagi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengekalkan momentum menjelang musim 2026.
Musim 2026 akan bermulanya kutipan mata ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 dengan Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Piala Negara-negara UCI, Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), Sukan Komanwel serta Sukan Asia bakal menjadi taruhan skuad trek.
Walaupun tidak menyertai Sukan SEA Thailand, Azizulhasni dan Izzah menamatkan kempen mereka di Melbourne dengan prestasi mantap yang memberi isyarat kesiapsiagaan menghadapi cabaran antarabangsa musim depan.
Azizulhasni meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki selepas tewas tipis kepada Jepun, Ryuto Ichida, manakala Ryoya Mikami melengkapkan podium di Joe Ciavola Velodrome, menunjukkan tahap kecergasannya tinggi biarpun dimamah usia.
“Alhamdulillah saya bersyukur meraih pingat perak ini. Ianya perlumbaan yang sangat sukar dalam setiap saringan. Saya bersyukur mara ke perlumbaan akhir.
“Saya sangat berpuas hati dengan kemajuan saya setakat ini, kerana prestasi keseluruhan melebihi jangkaan saya,” kata Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu.
Ratu berbasikal trek negara, Izzah menamatkan perlumbaan dengan gangsa dalam keirin wanita di belakang pemenang emas Alessia McCaig dan perak Deneaka Blinco,
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Kedah itu bersama Nur Alyssa Farid tewas di suku akhir acara pecut individu wanita.
Biarpun berlumba sebagai seorang atlet profesional, Azizulhasni meluahkan rasa syukur kepada pengarah teknikal berbasikal negara, John Beasley kerana selalu membantunya dalam latihan.
“Terima kasih Beasley kerana menyokong saya selama dalam perlumbaan ini. Tahniah kepada Izzah dan Alyssa meraih gangsa dalam keirin wanita,” katanya. – UTUSAN











