KUALA LUMPUR: Skuad ping pong negara kini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau pingat emas lebih 30 tahun menjelang Sukan SEA 2025 Thailand pada 9 hingga 20 Disember ini.
Keyakinan itu disuarakan oleh jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei selepas menyaksikan peningkatan konsisten dan memberangsangkan yang ditunjukkan oleh pemainnya dalam setiap kejohanan disertai.
“Saya rasa beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan ping pong menunjukkan peningkatan dalam keseluruhan persembahan dan ini memberi motivasi kepada keyakinan pemain.
“Walaupun setiap kejohanan antarabangsa kami tidak menyangka dapat ke final namun setiap perlawanan pemain mencari kemenangan dan memberi keyakinan kepada mereka.
“Saya rasa kalau tak salah saya, dekat 30 tahun pasukan pingpong tidak pernah ada pingat emas. Jadi, haraplah, pasukan kali ini dapat melakukannya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, pemain wanita negara, Karen Lyne dan Tee Ai Xin merangkul kejuaraan dalam acara beregu di Kejohanan Dunia Ping Pong (WTT) Feeder Vientiane, Laos, Ogos lalu.
Lee Wei turut berkata, sandaran emas diletakkan kepada acara beregu lelaki, berpasukan lelaki dan wanita pada temasya kali ini.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada temasya dwitahunan itu menerusi beregu wanita negara, Phua Bee Sim dan Chong Choi Thing pada 1991 dekat Manila.
Skuad ping pong negara melakukan persiapan akhir mereka dengan menyertai Kejohanan Ping Pong Asia pada 11 hingga 15 Oktober ini di India sebelum beraksi di WTT London pada 21 hingga 26 Oktober ini. – UTUSAN










