Media sosial jadi talian hayat perjuangan Sumud Flotilla

Media sosial jadi talian hayat perjuangan Sumud Flotilla

PENUNJUK perasaan pro-Palestin berkumpul di stesen kereta api Milano Cadorna, Milan, Ilati bagi membantah pemintasan Misi Global Sumud Flotilla sebagaimana kecoh di media sosial pada 1 Oktober lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA September lalu, dunia sekali lagi menyaksikan keberanian insan- insan yang menyeberangi lautan bukan dengan niat menakluk tetapi membawa mesej kemanusiaan.

Misi Global Sumud Flotilla (GSF), yang disertai sukarelawan dengan pelbagai latar belakang dari seluruh dunia termasuk 34 rakyat Malaysia, berlayar ke Gaza bagi menyampaikan bantuan dan memecahkan sekatan yang menindas rakyat Palestin selama hampir dua dekad.

Namun, misi kali ini bukan hanya pelayaran di laut. Ia juga pelayaran di alam maya, di mana gelombang media sosial menjadi arus kedua yang menggerakkan solidariti global. Platform seperti X, Facebook, TikTok dan Instagram menjadi jambatan komunikasi antara kapal di tengah laut dengan jutaan penyokong di seluruh dunia.

MEDIA SOSIAL SEBAGAI LAUTAN BAHARU PERJUANGAN

Bagi sukarelawan Malaysia, khususnya dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), media sosial bukan sekadar saluran berita, malah ia adalah nadi perjuangan. Melalui rakaman video, sesi siaran langsung di media sosial dan catatan refleksi, mereka berkongsi kisah keberanian, doa juga semangat sumud (keteguhan).

Rakaman oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Dr. Hafidzi Mohd. Noor memaparkan sisi kemanusiaan yang jarang dilihat di media arus perdana. Mereka bersolat berjemaah di dek kapal, solidariti antara sukarelawan pelbagai bangsa dan saat genting berdepan dron pengintip.

Setiap hantaran itu menghidupkan rasa empati dan kesedaran. Rakyat Malaysia tidak lagi menjadi penonton tetapi turut serta dalam solidariti digital dengan berdoa, berkongsi, menyebarkan mesej damai dan keadilan.

 

MENGHUBUNGKAN DUNIA MELALUI PENJEJAK SUMUD NUSANTARA

Inovasi digital turut memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan dan keselamatan misi. Pusat Komando Sumud Nusantara di Malaysia menyelaras komunikasi dan kemas kini perjalanan kapal secara masa nyata melalui aplikasi Penjejak Sumud Nusantara, ciptaan sukarelawan tempatan.

Melalui platform ini, masyarakat dunia boleh menjejaki laluan Flotilla secara langsung. Ia bukan sahaja meningkatkan keterlihatan misi tetapi juga memperkukuh kepercayaan dan akauntabiliti awam terhadap operasi kemanusiaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Gabungan teknologi, empati dan komunikasi inilah yang menjadikan Malaysia antara negara Islam yang paling aktif dalam diplomasi kemanusiaan digital.

 

APABILA LAUTAN TERPUTUS, DUNIA BERSATU DI LAYAR

Saat komunikasi Flotilla terganggu berhampiran zon larangan, video isyarat kecemasan (SOS) daripada sukarelawan Malaysia berjaya menembusi sekatan menggunakan capaian satelit terhad. Video itu memaparkan wajah tenang di tengah ancaman dan tular di seluruh media sosial tempatan.

Reaksi rakyat yang begitu cakna bertindak sangat pantas. Ratusan ribu pengguna berkongsi dan menyeru kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mengambil tindakan segera.

Fenomena ini membuktikan dalam dunia tanpa sempadan, empati digital mampu diterjemahkan menjadi tindakan diplomatik.

Namun, keberanian di alam digital hadir bersama risiko. Siaran masa nyata boleh mendedahkan lokasi sebenar kapal, manakala penularan maklumat palsu mampu menjejaskan keselamatan kru.

Inilah paradoks media sosial yang memperluas suara kebenaran, namun dalam masa sama membuka ruang kepada manipulasi maklumat.

Oleh itu, penganjur misi perlu melatih sukarelawan dengan kemahiran komunikasi krisis digital, semakan fakta serta keselamatan siber agar naratif kemanusiaan kekal sahih dan beretika.

MALAYSIA SEBAGAI PENERAJU DIPLOMASI KEMANUSIAAN DIGITAL

Misi Global Sumud Flotilla memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang aktif dalam diplomasi kemanusiaan digital, di mana belas ihsan bergabung dengan teknologi. Dalam dunia hari ini, perjuangan untuk keadilan tidak hanya berlaku di jalanan atau Parlimen, tetapi juga di ruang maya.

Sukarelawan Malaysia membuktikan keberanian boleh disiarkan secara langsung dan doa boleh menjadi trend global. Ini adalah wajah baharu sumud iaitu keteguhan yang tidak hanya di layar kapal tetapi juga diperluaskan melalui layar skrin.

Misi Global Sumud Flotilla bukan sekadar kisah pelayaran bantuan tetapi cerminan bagaimana media sosial mengubah cara dunia melihat dan bertindak terhadap isu kemanusiaan. Ia mengingatkan kita dalam dunia digital hari ini, keterlihatan adalah bentuk perlindungan dan hubungan adalah bentuk kasih sayang.

Malaysia telah membuktikan suara kecil di dek kapal boleh bergema di seluruh dunia apabila disiarkan dengan kejujuran, doa dan nilai kemanusiaan sejagat.-UTUSAN

 

DR. Husna Afifi Mohd. Yusoff ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi Media Baharu di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×