Mangsa buli siber sebelum terkenal

Mangsa buli siber sebelum terkenal

Paige Spiranac pemain golf wanita yang berpengaruh di Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI raut wajah yang cantik selain susuk tubuh yang menawan menjadikan Paige Spiranac sebagai seorang pemain golf wanita yang berpengaruh di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, sebelum menjadi sensasi di media sosial, seperti kebanyakan atlet, Spiranac turut bermula dari bawah dalam kariernya sebagai pemain golf profesional dan ramai tidak tahu keperitan yang terpaksa dilaluinya.

Menerima gangguan di alam maya secara berterusan, malah turut menjadi mangsa buli siber selain mendapat ancaman bunuh ditambah pula dengan keputusan pertandingan yang mengecewakan telah memaksa Spiranac menilai semula masa depannya dalam sukan golf.

Enggan untuk meninggalkan terus dunia golf yang diceburinya sejak 2010, Spiranac menemui kaedah baharu apabila dia menggunakan media sosial sebagai platform untuk mencipta kandungan berkaitan sukan tersebut.

Baru-baru ini, dalam satu temu bual bersama Skratch, Spiranac telah berkongsi tentang kekecewaan yang terpaksa dilalui olehnya sepanjang pembabitan dalam sukan golf.

Mengimbau kembali, Spiranac mengakui dia terpaksa bergelut dengan tekanannya sendiri apabila perlu memenuhi tuntutan yang tinggi dalam setiap pertandingan disertainya.

Tidak tahan untuk menghadapinya, Spiranac telah mendapat satu ilham di mana dia mahu menceburi bidang baharu sebagai pencipta kandungan mengenai sukan golf di media sosial.

“Jika saya boleh berkongsi kisah saya, dan saya okey untuk menjadi emosi mengenainya dan saya okey untuk menyatakan apa yang berlaku kepada saya.

“Kerana orang tidak sedar betapa sukarnya bagi saya… orang mengatakan dunia ini lebih baik tanpa saya. Buli siber adalah masalah besar dan tiada siapa yang benar-benar membincangkannya.

“Ia bukan lagi sesuatu yang lucu. Ia bukan sesuatu yang hebat untuk memperlekehkan orang lain, dan anda perlu lebih menyokong antara satu sama lain dan saya rasa itu sangat penting,” katanya.

Keterbukaan Spiranac tentang kesihatan mental telah menyentuh hati para pengikutnya, dengan ramai yang memujinya kerana kejujurannya.

Dalam industri yang kompetitif dan sering bersifat menghukum, kesediaannya untuk berkongsi sisi rapuh dirinya telah menjadikannya figura yang mudah didekati dan disenangi oleh peminat di seluruh dunia.

“Kini apabila saya rasa lebih berharga dan lebih yakin dengan diri sendiri, saya mempunyai motivasi yang berbeza apabila mencipta kandungan.

“Jadi saya perlu menyesuaikan diri dengan perubahan itu, kerana sudah tentu saya ingin mencipta kandungan yang anda sukai dan nikmati, tetapi pada masa yang sama saya juga mahu berkembang, dan saya masih mahu berubah serta menjadi kreatif,” katanya.

Walaupun dia tidak begitu berjaya dalam kejohanan profesional, Spiranac telah membuat penampilan sulung profesionalnya di Omega Dubai Ladies Classic pada 2015 dan kemudiannya bertanding dalam Jelajah Cactus, di mana dia meraih kemenangan pertamanya pada 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN