Mampukah Hakim Danish cipta keajaiban di GP Malaysia?

Mampukah Hakim Danish cipta keajaiban di GP Malaysia?

Hakim Danish sewaktu sesi latihan menguji jentera KTM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penampilan sulung Hakim Danish Ramli pada Grand Prix Motosikal Malaysia, hujung minggu ini tidak seharusnya diasak dengan tekanan lebih-lebih lagi statusnya sebagai pemenang tempat ketiga Piala RedBull MotoGP Rookies.

Namun, harapan yang disandarkan di bahu pelumba muda negara itu biarlah bersesuaian dengan statusnya sebagai peserta ‘wild card’ Moto3 kerana bimbang ia hanya akan mengundang tekanan buat Hakim Danish.

Pengurus pasukan AEON Credit SIC Racing MSI, Zulfahmi Khairuddin berkata, secara realistik untuk mendapatkan keputusan podium itu memang sukar, melainkan ada keajaiban yang berlaku sewaktu perlumbaan.

“Ini penampilan pertama Hakim Danish, memang tak ada orang yang pergi kali pertama terus menang, tetapi, keajaiban itu boleh berlaku.

“Pasukan akan beri semaksimum mungkin untuk membantu Hakim Danish, ini adalah pakej terbaik untuk pergi sebagai pelumba ‘wild card’,” katanya.

Zulfahmi berkata, jentera KTM diimport terus dari kilang di Austria dengan spek motosikal keluaran tahun ini beserta alat ganti terbaharu yang lengkap.

Katanya, pasukan MSI yang kini berada di kedudukan No. 2 dunia akan turun dan krew bakal melakukan pelarasan mengikut kesesuaian dengan Hakim Danish.

“Selain itu, kita juga mengambil inisiatif menerbangkan pembantu Hakim Danish dalam Piala RedBull MotoGP Rookies, Mark Cardona untuk membantunya dalam perlumbaan nanti,” katanya.

Mengulas pula mengenai prestasi semasa Hakim Danish, beliau berkata, anak muda tersebut perlu bijak mengawal semua perkara termasuk emosinya.

“Dia baru 18 tahun, jadi, saya harapkan Hakim Danish tidak terlalu memaksa dirinya sehingga membiarkan tekanan mengawal persembahannya, ia berlaku dalam Piala RedBull MotoGP Rookies.

“Tetapi selepas beberapa minggu berehat, Hakim Danish sedar kekurangan itu dan penampilan pada GP Malaysia tidak menekannya berbanding Piala RedBull MotoGP Rookies di mana dia perlu mengekalkan kedudukan teratas,” kata Zulfahmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×