KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menghantar lebih daripada 1,000 atlet ke Sukan SEA 2025 di Thailand sekali gus menjadikannya kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaan negara dalam temasya itu.
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah berkata, penyertaan lebih 1,000 atlet itu didorong oleh penganjuran banyak acara berpasukan oleh tuan rumah, sekali gus menyumbang kepada saiz kontinjen terbesar setakat ini.
“Ini sebenarnya akan menjadi kontinjen terbesar kerana kita akan menyertai kesemua 50 jenis sukan kali ini dan kebanyakan daripada sukan dipertandingkan merupakan acara berpasukan.
“Banyak daripada sukan ini tidak berpeluang untuk dipertandingkan dalam dua edisi terakhir Sukan SEA. Kali ini, kita mahu atlet mendapat pendedahan dan memperkukuh kedudukan ranking mereka di peringkat Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi kejohanan yang lebih besar tahun hadapan.
Nurul Huda ditemui pemberita dalam sesi lawatannya ke kem latihan skuad pingpong di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Legenda renang itu turut berkata, semua atlet negara yang mengambil bahagian pada temasya tersebut diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dengan Institut Sukan Negara (ISN).
“Memandangkan kontinjen kali ini adalah besar dan melibatkan banyak sukan yang tidak berada di bawah program MSN, ISN juga akan menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas semua atlet,” katanya.
Katanya lagi, kemas kini terkini mengenai venue pertandingan akan diperoleh semasa Mesyuarat Pengurus Pasukan di Thailand yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Sebagai rekod, kontinjen negara membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa pada Sukan SEA Phnom Penh 2023, kurang 40 pingat emas daripada sasaran awal. – UTUSAN










