ISU keselamatan pelajar di sekolah merupakan perkara asas yang mesti diberi perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Sebarang perlakuan jenayah yang berlaku di kawasan sekolah sama ada dilakukan pelajar sendiri mahupun pihak luar perlu ditangani secara tegas dan menyeluruh.
Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan beberapa insiden tragis melibatkan pelajar sekolah, termasuk kes buli, rogol dan pembunuhan. Tidak kurang juga kes pergaduhan, peras ugut dan gejala gengsterisme yang semakin berleluasa.
Walaupun terdapat kes yang berjaya diuruskan dengan baik oleh pihak sekolah mengikut prosedur disiplin sedia ada, jenayah berat seperti rogol dan bunuh tidak dapat disembunyikan kerana memerlukan siasatan pihak polis.
Fenomena ini memperlihatkan kelemahan ketara dalam sistem pendidikan negara, khususnya aspek keselamatan dan pembentukan sahsiah pelajar.
Persoalan besar kini ialah sama ada sistem pendidikan kita sudah tidak lagi relevan dengan realiti semasa. Sistem kita lapuk, tidak fleksibel dan gagal membina benteng moral dalam kalangan pelajar.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat, namun kini ia semakin dipandang sebagai ruang yang berisiko. Ramai ibu bapa bimbang menghantar anak ke sekolah kerana khuatir mereka menjadi mangsa buli, kecederaan atau penghinaan yang menjejaskan emosi dan kesejahteraan mental.
Dari segi psikologi, mangsa akan mengalami trauma mendalam, manakala pelaku pula berdepan hukuman berat serta risiko menjadi individu yang cenderung kepada keganasan di masa hadapan.
Memandangkan tahap keyakinan masyarakat terhadap keselamatan sekolah semakin menurun, Menteri Pendidikan harus memandang serius perkara ini dan bertanggungjawab mencari penyelesaian segera.
Masa untuk berdolak-dalik sudah berakhir. KPM perlu tampil dengan langkah pembaikan konkrit, bukan hanya kenyataan politik yang bersifat defensif.
Antara langkah utama yang boleh diambil ialah memperkenalkan pendidikan undang-undang dan kesedaran jenayah di sekolah supaya pelajar memahami implikasi serius perbuatan seperti buli, serangan fizikal dan gangguan seksual.
Langkah ini jauh lebih praktikal daripada memperkenalkan mata pelajaran baharu seperti pembangunan karakter yang dicadangkan sebelum ini.
Kementerian sepatutnya menilai semula dan memperkasa kurikulum Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam yang sudah tersedia, kerana kedua-duanya secara langsung membentuk pembangunan sahsiah dan nilai insaniah pelajar.
Selain itu, setiap sekolah wajar menubuhkan jawatan kuasa keselamatan khas yang berfungsi mengaudit tahap keselamatan dan disiplin pelajar secara berkala. Jawatankuasa ini juga perlu mencadangkan langkah penambahbaikan dan melaporkan sebarang potensi risiko kepada pihak pentadbiran dengan segera.
Bagi memperkukuh sistem pengawasan, sekolah disaran mewujudkan saluran aduan rahsia dan selamat agar pelajar berani melaporkan kejadian buli atau ancaman tanpa rasa takut.
Setiap aduan yang mempunyai asas kukuh hendaklah disiasat segera dan diambil tindakan wajar.
Guru pula memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam mengesan pelajar bermasalah, mengenal pasti mereka yang berisiko melakukan kesalahan berat serta membimbing mereka sebelum terlambat.
Dalam masa sama, kerjasama antara sekolah dan pihak polis perlu diperkasa. Program seperti ceramah, sesi kesedaran jenayah dan rondaan berkala boleh membantu mendidik pelajar tentang tanggungjawab undang-undang serta memberi pendedahan terhadap akibat perlakuan salah laku.
Tindakan pantas polis terhadap insiden serius juga penting bagi menunjukkan ketegasan undang-undang dan mengembalikan rasa selamat kepada warga sekolah.
Peranan ibu bapa dan masyarakat turut tidak boleh dipandang ringan. Sekolah bukan hanya tempat menimba ilmu akademik, tetapi medan membentuk manusia. Oleh itu, ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dalam membimbing anak-anak yang berdepan masalah disiplin.
Malangnya, masih ada ibu bapa yang bersikap acuh tak acuh, enggan memberi kerjasama atau lebih buruk lagi mengugut guru yang mengambil tindakan disiplin terhadap anak mereka.
Sikap ego dan keengganan menerima tanggungjawab inilah yang merencatkan usaha membina budaya sekolah yang selamat.
TINDAKAN SEGERA
Insiden seperti kes rogol bergilir dalam kelas di Melaka dan Kedah serta kes pelajar perempuan maut ditikam rakan sekolah di Petaling Jaya menjadi titik hitam yang menggoncang keyakinan masyarakat. Sekolah yang sepatutnya simbol keselamatan dan kepercayaan kini dilihat semakin hilang maknanya.
Kementerian Pendidikan tidak boleh lagi berdiam diri atau menunggu tragedi baharu berlaku. Krisis keyakinan terhadap keselamatan sekolah mesti dipulihkan segera melalui pelan tindakan menyeluruh, pemantauan ketat dan tanggungjawab bersama antara sekolah, polis, ibu bapa serta komuniti.
Kita tidak mahu sistem pendidikan negara kehilangan martabatnya sebagai institusi pembentuk insan dan pelindung generasi muda.
Kegagalan menangani isu keselamatan ini bukan sekadar kelemahan pentadbiran tetapi juga kegagalan moral sebuah sistem yang sepatutnya mendidik, melindungi dan membina masa hadapan anak bangsa.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










