PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan faktor kepenatan menyebabkan rentak permainan anak buahnya terjejas apabila sekadar menang 3-0 ke atas Penang FC dalam suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin.
Tegas Munoz, jadual padat yang diharungi barisan pemain Harimau Selatan menyebabkan mereka seakan hilang konsentrasi sehingga tidak mampu melakukan penyudah lebih efektif.
“Salah satu perkara yang kami hadapi dalam perlawanan itu, apabila pemain keletihan ketika berada di kawasan benteng lawan, ada ketika agak sukar untuk membuka permainan dan seolah-olah hilang tumpuan dan senario itu perlu diperbaiki segera.
“Apa yang penting bagi kami adalah berusaha membuka permainan dengan lebih pantas, tidak dinafikan kami memiliki peluang menambah jaringan dan tahu untuk menyudahkannya tapi apabila faktor keletihan melanda maka keputusan yang diambil tidak tepat selain berdepan pemain lawan yang beraksi secara bertahan.
“Sudah tentu saya berpuas hati dengan gol yang dijaringkan menerusi set piece yang dirancang dan untuk lebih mantap bagi menghadapi aksi seterusnya kita perlu memahami apa yang perlu dilakukan dan perlu berusaha melebihi apa yang dimahukan dan mengekalkan momentum permainan,” katanya.
Pada aksi itu, kesemua gol terhasil pada babak pertama bermula dengan ledakan Bergson da Silva di minit ke-38, diikuti Jonathan Silva (min-40) dan Eddy Israfilov pada masa kecederaan bagi melengkapkan kemenangan skuad Harimau Selatan untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 5-1.
Sementara itu, ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Ismail tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya terutama pada babak kedua walaupun langkah mereka di Piala FA sudah terhenti.
“Kami bermula agak baik, tapi selepas minit ke-30 macam fokus sedikit hilang dan kami dihukum dengan tiga jaringan mudah dalam tempoh lebih kurang lima minit dan untuk bangkit semula dalam memang agak sukar.
“Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, pemain kembali fokus dan dilihat benar-benar menikmati permainan bola sepak. Tapi akibat ketinggalan 0-3 pada babak pertama agak sukar untuk melakukan kebangkitan dan usaha memburu gol tidak kesampaian walaupun kita sudah cuba yang terbaik,
“Bagaimanapun, semua tahu JDT berada di tahap yang berbeza. Bukan mudah untuk mana-mana pasukan datang ke sini dan menewaskan mereka yang juga pasukan yang hebat dan terbaik di negara ini, setahu saya mereka belum pernah kalah di gelanggang sendiri sejak tiga tahun,” ujarnya. – UTUSAN

 
								 
											









