PETALING JAYA: Harimau Malaya masih memiliki kekuatan ‘mencukupi’ untuk menewaskan Laos dalam dua aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 dan 14 Oktober ini.
Kemampuan skuad kebangsaan diragui terjejas berikutan tujuh pemain warisan kemungkinan tidak dapat bersama pasukan pada perlawanan itu, susulan dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan bagaimanapun berkata, barisan pemain yang sedia ada ketika ini termasuk pemain tempatan sudah cukup untuk menewaskan Laos walaupun akui ketiadaan tujuh pemain warisan negara itu sedikit sebanyak menjejaskan percaturan Peter Cklamovski.
Jelasnya, dengan beberapa pemain tempatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) seperti Arif Aiman Hanafi, Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah dan beberapa pemain lagi pasti mampu menampung ketiadaan tujuh pemain warisan terbabit.
“Benar atas kertas sememangnya Malaysia mempunyai peluang lebih besar untuk memenangi perlawanan apabila berdepan Laos. Tetapi kita juga tahu Laos sekarang bukan Laos yang dulu dan sudah banyak peningkatan.
“Namun begitu, bagi saya dengan barisan pemain sedia ada walaupun tanpa tujuh pemain warisan kita masih mampu untuk menewaskan Laos. Lagipun kalau lihat dalam saingan Liga Malaysia, banyak pemain-pemain tempatan yang menyerlah.
“Kita tengok Safawi dah mula dapat sentuhan seperti dulu, Ramadhan di Kuching City dan tentu sekali Arif Aiman, mereka ini mampu beri impak dalam skuad kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Malaysia terlebih dahulu akan terbang ke Vientiane apabila dijadualkan bertemu Laos pada 9 Oktober di Stadium Nasional Laos, sebelum lima hari kemudian melayan kunjung lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemudian, skuad Harimau Malaya akan berdepan Nepal pada November dan menentang Vietnam dalam aksi kelayakan terakhir pada Mac tahun depan.
Selepas mengatasi Vietnam 4-0 d kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun lalu, Harimau Malaya dilihat sedang berada dalam momentum terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir selepas turut menang dalam aksi pembukaan 2-0 ke atas Nepal.
Ketika ini, skuad kendalian Cklamovski mendahului Kumpulan F dengan enam mata, mengatasi pasukan pilihan Vietnam yang berada di tangga kedua dengan tiga mata selepas dua perlawanan.
Wan Jamak yang juga bekas pemain kebangsaan, menjelaskan taktikal yang bakal diterapkan Cklamovski bakal memainkan peranan penting dalam pertemuan dengan Laos.
“Cklamovski dan barisan kejurulatihan pasti sudah mempunyai perancangan tanpa tujuh pemain warisan ini. Taktikal dan gaya permainan bakal diterapkan memainkan peranan penting untuk meraih keputusan positif.
“Mungkin gaya permainan menyerang sebelum ini sedikit terjejas berikutan tanpa tujuh pemain warisan itu,” jelasnya. – UTUSAN










