Jun Hao gugup di Eropah

Jun Hao gugup di Eropah

Leong Jun Hao membuka kemenangan pertama dengan menewaskan Jewel Angelo Albo 21-17, 21-18 pada aksi separuh akhir acara berpasukan Sukan SEA 2025 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan No.1 negara, Leong Jun Hao terus dihantui rentak tidak menentu di gelanggang Eropah apabila mengakui kegugupan menjadi antara punca utama kejatuhannya dalam misi menyaingi jaguh dunia.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, perasaan gementar dan terlalu banyak berfikir menyebabkan dia gagal mengekalkan momentum ketika menentang jaguh Denmark, Viktor Axelsen pada Terbuka Perancis, kelmarin.

“Ya, mungkin dalam perlawanan kedua saya rasa sedikit gementar dan terlalu banyak berfikir semasa cuba menyukarkannya kerana dia pemain yang sangat besar di gelanggang.

“Jurulatih saya membantu dengan beberapa taktik dan perkara yang sering dia (Axelsen) lakukan, jadi saya cuba guna apa yang dirancang, tetapi masih belum cukup,” kata Jun Hao.

Jun Hao tewas 16-21, 15-21 kepada juara Olimpik dua kali itu, sekali gus mencatat penyingkiran pusingan pertama ketiga berturut-turut selepas Terbuka Korea dan Denmark, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemain ranking ke-20 dunia itu tetap berpendirian untuk melihat jelajah Eropah kali ini sebagai peluang memperkukuh pengalaman dan memperbaiki kelemahan diri.

“Setakat ini saya rasa lawan di Eropah memang sukar, jadi saya hanya perlu pastikan saya buat apa yang saya mampu dan terus membina dari situ.

“Cuma mungkin saya perlu tingkatkan sedikit kecergasan supaya saya boleh mengekalkan kelajuan permainan, dan tambah beberapa perkara tanpa mengubah gaya asal saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN