PETALING JAYA: ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui pasukannya sepatutnya tampil lebih baik ketika menewaskan kelab China, Chengdu Rongcheng 2-0 di Stadium Phoenix Hill Sports Park, kelmarin.
Bagaimanapun katanya, faktor padang yang kurang baik di venue berkenaan memaksa pasukan melakukan pendekatan berbeza mengikut kesesuaian berbanding dengan apa yang dirancang lebih awal
“Paling penting, ini adalah perlawanan yang bagus, pemain memahami situasi perlawanan dan mereka memahami apa yang perlu kita lakukan.
“Kita sebenarnya mampu bermain dengan lebih baik, tetapi pemain faham situasi yang terpaksa mereka hadapi ketika berada atas padang dan apa yang mereka perlu lakukan.
“Kita boleh ucapkan tahniah kepada pemain, tiada apa yang percuna sebaliknya mereka berikan aksi sangat bagus,” katanya.
Pada aksi kelmarin, Harimau Selatan memulakan perlawanan dengan penuh sempurna apabila berjaya memperoleh gol pembukaan seawal minit ke-5 menerusi Oscar Arribas sebelum Nacho Mendez meledak gol kedua, pada minit ke-62.
Sementara itu, Ariff Aiman Hanapi yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan menjelaskan tiga mata kali ini cukup penting bagi membawa Harimau Selatan mara lebih jauh pada penyertaan musim ini.
“Kami ketepikan semua kesukaran termasuk keadaan padang yang licin. Misi utama kami hanyalah untuk menang. Tahniah kepada semua rakan sepasukan yang memberikan 100 peratus tenaga dan disiplin.
“Selepas ini, kami mahu mengekalkan momentum menjelang pertemuan dengan Shanghai Shenhua di gelanggang sendiri pada 5 November nanti,” katanya. – UTUSAN










