DALAM dunia pendidikan tinggi, isu peningkatan gred pelajar bukanlah perkara baharu. Walaupun fenomena ini telah lama dibincangkan, keperluan untuk menilai semula implikasi dan kesannya masih kekal relevan sehingga kini.
Kecenderungan pelajar memperoleh markah cemerlang dalam peperiksaan semester semakin ketara dan timbul persoalan utama adakah peningkatan ini benar-benar mencerminkan pencapaian akademik yang sahih atau sekadar gambaran palsu akibat fenomena inflasi gred?
Secara ideal, gred tinggi seharusnya menjadi indikator pelajar benar-benar menguasai kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan dalam sesuatu kursus.
Namun, apabila peningkatan gred berlaku tanpa asas akademik yang kukuh, ia menimbulkan kebimbangan serius terhadap integriti sistem pendidikan, sekali gus menggugat keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi (IPT).
Perbezaan antara peningkatan sah dalam markah dengan inflasi gred adalah halus tetapi sangat penting. Peningkatan sah merujuk pencapaian yang lahir daripada usaha gigih pelajar, strategi pembelajaran berkesan, kaedah pengajaran mantap serta penilaian yang benar-benar sejajar dengan hasil pembelajaran.
Sebaliknya, inflasi gred berlaku apabila peningkatan berlaku tanpa peningkatan sebenar dalam pencapaian. Faktor lazim termasuk kriteria penilaian yang terlalu longgar, campur tangan luar atau tekanan daripada pengurusan untuk menunjukkan kadar kejayaan yang tinggi.
Perbezaan inilah yang menentukan sama ada peningkatan gred boleh dianggap sebagai pencapaian berkualiti atau sekadar manipulasi angka yang menjejaskan makna sebenar pencapaian akademik.
Peningkatan markah yang sah lazimnya berpunca daripada pelaksanaan garis panduan akademik yang jelas serta penyesuaian kandungan kursus dengan Hasil Pembelajaran Program (PLO) dan Hasil Pembelajaran Kursus (CLO). Apabila penilaian dirangka selaras dengan objektif ini, pencapaian pelajar menandakan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara faktor utama yang menyumbang peningkatan sah termasuk penggunaan pendekatan pedagogi berpusatkan pelajar, integrasi teknologi dalam pengajaran serta peluang pembelajaran aktif melalui simulasi, kajian kes dan projek penyelesaian masalah.
Selain itu, keberkesanan penilaian turut bergantung pada skema pemarkahan yang jelas dan telus. Skema ini memudahkan pensyarah menilai dengan konsisten serta memberi peluang kepada pelajar memahami jangkaan pembelajaran dengan lebih baik. Ditambah dengan maklum balas berterusan, bimbingan akademik serta latihan intensif, semua faktor ini menjadikan peningkatan gred sesuatu yang wajar kerana ia mencerminkan kejayaan sebenar sistem pendidikan.
Namun begitu, inflasi gred memberi kesan yang jauh lebih membimbangkan. Ia berlaku apabila pelajar memperoleh gred tinggi tanpa menunjukkan peningkatan dalam kemahiran sebenar.
Di Malaysia, isu ini semakin ketara apabila wujud kes graduan universiti yang gagal memenuhi keperluan pasaran kerja walaupun mempunyai kelulusan cemerlang di atas kertas.
Majikan pula berdepan cabaran menilai kebolehan sebenar graduan kerana gred tidak lagi menggambarkan tahap kecekapan. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menghakis keyakinan industri terhadap graduan tempatan sekali gus menjejaskan reputasi IPT di mata masyarakat.
Dari sudut motivasi, isu ini berbahaya kerana ia mewujudkan budaya akademik yang tidak sihat. Pelajar yang memperoleh gred tinggi dengan mudah cenderung berasa selesa, lalu kurang terdorong untuk meningkatkan kemahiran sebenar mereka.
Usaha gigih, ketekunan dan kejujuran akademik semakin dipandang ringan. Malah, kredibiliti pensyarah juga boleh dipersoalkan sekiranya terdapat persepsi mereka terlalu memudahkan penilaian atau tunduk kepada tekanan pihak atasan.
Dalam memahami isu inflasi gred, penting untuk membezakan antara tahap kesukaran soalan dengan ketegasan kriteria penilaian. Soalan yang sukar tidak semestinya adil, manakala soalan mudah tidak semestinya tidak berkesan. Apa yang lebih utama ialah keseimbangan dalam reka bentuk penilaian.
Di sinilah kepentingan Jadual Spesifikasi Ujian (TOS) terserlah. Sebelum peperiksaan, TOS berfungsi sebagai pelan penilaian bagi memastikan soalan meliputi pelbagai domain kognitif serta tahap kesukaran yang seimbang.
Selepas peperiksaan pula, analisis item melalui teori ujian klasik (CTT) atau pemodelan Rasch penting bagi mengenal pasti soalan yang terlalu mudah, terlalu sukar atau gagal membezakan antara pelajar cemerlang dengan pelajar lemah.
Amalan sebegini membuktikan komitmen institusi dalam mengekalkan integriti penilaian dan memastikan setiap gred benar-benar sahih serta boleh dipercayai.
Bagi menangani isu inflasi gred secara sistematik, penubuhan jawatankuasa ad hoc di peringkat institusi wajar dipertimbangkan. Jawatankuasa ini berperanan menyiasat sejauh mana inflasi gred berlaku, menilai kesannya terhadap sistem pendidikan serta memastikan penggunaan TOS menjadi amalan wajib pada setiap semester.
Selain itu, analisis item perlu dijadikan rutin supaya pensyarah dapat memperbaiki instrumen penilaian mereka. Penggunaan teknologi baharu seperti penilaian berasaskan komputer, analitik pembelajaran dan sistem penilaian adaptif juga boleh diteroka untuk memberi gambaran lebih tepat tentang pencapaian pelajar.
Dasar penilaian institusi pula perlu dikemas kini secara berkala agar selari dengan perkembangan pendidikan global. Dalam masa sama, pensyarah wajar diberi latihan profesional berterusan untuk meningkatkan keupayaan dalam merangka soalan, melaksanakan analisis item, serta mentadbir penilaian dengan penuh integriti.
Secara keseluruhannya, peningkatan gred pelajar yang berpandukan kerangka akademik kukuh seharusnya dilihat sebagai tanda pencapaian sebenar dan bukti keberkesanan pembelajaran.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah dan Timbalan Pengarah Pusat Pengukuran, Pentaksiran dan Ujian (iMET), Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.











