Gaza terus berdarah, dunia bertanya ­di mana peranan PBB?

Gaza terus berdarah, dunia bertanya ­ di mana peranan PBB?

TANPA reformasi menyeluruh, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berisiko sekadar menjadi simbol tanpa kuasa membawa perubahan nyata di peringkat antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN kuasa veto oleh Amerika Syarikat (AS) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti yang berlaku dalam resolusi berkaitan Gaza baru-baru ini, menimbulkan persoalan serius mengenai relevansi dan keberkesanan organisasi tersebut.

Tindakan ini memperlihatkan kepentingan sesebuah negara anggota boleh menghalang usaha kolektif untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.

Walaupun PBB masih berfungsi sebagai forum diplomatik yang penting, kuasa veto yang dimiliki lima anggota tetap Majlis Keselamatan iaitu AS, China, Perancis, Russia dan United Kingdom (UK) sering kali menyebabkan badan ini tidak mampu mengambil tindakan tegas terhadap isu-isu global yang mendesak.

Masyarakat dunia merasakan reformasi terhadap struktur dan mekanisme PBB amat diperlukan agar dapat berfungsi dengan lebih berkesan serta adil.

Penggunaan kuasa veto membolehkan mana-mana anggota tetap membatalkan sebarang resolusi walaupun mendapat sokongan majoriti, sekali gus menjejaskan kredibiliti serta keupayaan PBB sebagai badan antarabangsa yang sepatutnya bersifat neutral dan berorientasikan perdamaian.

Kuasa veto yang digunakan AS untuk menghalang gencatan senjata di Gaza bertujuan mempertahankan kepentingan rejim Israel. 14 anggota Majlis Keselamatan PBB kecuali AS, menggesa gencatan senjata segera dan pembatalan operasi ketenteraan rejim Israel di Gaza yang didakwa memburukkan krisis kemanusiaan.

Keadaan ini juga menunjukkan walaupun sesuatu resolusi mendapat sokongan majoriti negara anggota, ia tetap boleh dibatalkan.

Ini memperlihatkan keterbatasan PBB dalam melaksanakan tindakan kolektif yang sepatutnya membawa penyelesaian konflik secara aman. Ia dilihat sebagai tindakan simbolik yang tidak membawa kesan substantif, malah sebahagian menganggapnya sebagai pengkhianatan terhadap prinsip perdamaian yang menjadi asas penubuhan PBB.

Veto AS dilihat sebagai langkah mempertahankan kepentingan geopolitik dan hubungan strategik dengan Israel, walaupun tindakan tersebut bercanggah dengan aspirasi majoriti negara anggota yang mahukan penyelesaian secara aman dan berperikemanusiaan.

Keadaan ini memperlihatkan keterbatasan PBB dalam melaksanakan tindakan kolektif yang sepatutnya membawa kepada penyelesaian konflik secara adil dan menyeluruh.

Keadaan ini mencetuskan kebimbangan terhadap amalan multilateralisme dalam sistem PBB, terutamanya apabila kuasa veto digunakan secara terpilih oleh negara ahli tetap untuk melindungi kepentingan nasional mereka dan bukannya untuk memastikan keadilan sejagat bagi semua negara.

Ini menimbulkan persoalan sama ada prinsip multilateralisme masih berkesan atau hanya sekadar alat untuk negara-negara besar mencapai agenda mereka sendiri.

Lebih membimbangkan, penggunaan kuasa veto secara selektif dan berkepentingan dianggap sebagai pencabulan terhadap prinsip asas penubuhan PBB, iaitu untuk mempromosikan keamanan, hak asasi manusia dan kerjasama antarabangsa. Ia bukan sahaja menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan masyarakat antarabangsa, malah mencetuskan desakan agar reformasi menyeluruh terhadap struktur dan mekanisme PBB perlu dilaksanakan.

Reformasi ini termasuklah penilaian semula terhadap kuasa veto, agar ia tidak disalahgunakan dan lebih mencerminkan keadilan serta suara kolektif negara-negara anggota.

Insiden seperti ini mengukuhkan lagi pandangan dunia yang PBB perlu berubah agar kekal relevan dalam dunia semakin kompleks dan berpolarisasi. Tanpa reformasi yang menyeluruh, PBB berisiko menjadi simbol diplomatik semata-mata, tanpa keupayaan sebenar untuk membawa perubahan bermakna dalam landskap antarabangsa.

Konflik berpanjangan di Gaza kini memasuki fasa paling gelap dalam sejarah moden apabila Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan rejim Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Laporan setebal 72 muka surat yang diterbitkan pada 16 September lalu menyatakan empat daripada lima tindakan yang ditakrifkan sebagai genosid di bawah Konvensyen Genosid 1948 dilakukan oleh pihak berkuasa dan pasukan keselamatan rejim Israel.

Konflik Taufan Al-Aqsa meletus pada 7 Oktober 2023, susulan beberapa siri ketegangan yang memuncak antara kumpulan pejuang Palestin di Gaza dan tentera rejim Israel.

Menurut laporan dari Al Jazeera (20 September 2025), Sekurang-kurangnya 65,200 rakyat Palestin terbunuh dan lebih daripada 166,000 lagi cedera akibat serangan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 dengan majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak.

Angka ini mencerminkan skala kemusnahan luar biasa dan penderitaan yang berterusan dialami penduduk awam, termasuk wanita dan kanak-kanak. Serangan tanpa henti ini bukan sahaja memusnahkan infrastruktur asas seperti hospital, sekolah dan tempat ibadah tetapi juga menyebabkan krisis kemanusiaan yang mendalam, dengan jutaan penduduk kini hidup dalam keadaan serba kekurangan, trauma dan ketakutan.

Negara proksi seperti AS dan UK terus memainkan peranan utama dalam menyokong rejim Israel secara politik dan ketenteraan. Bantuan kewangan dan senjata masih disalurkan, manakala resolusi gencatan senjata di Majlis Keselamatan PBB sering disekat melalui kuasa veto.
Retorik seperti ‘hak mempertahankan diri’ digunakan untuk mengabsahkan tindakan ketenteraan yang mengorbankan puluhan ribu nyawa awam.

Pendekatan ini bukan sahaja menafikan realiti penderitaan rakyat Palestin tetapi juga menghalang sebarang usaha untuk menamatkan konflik secara adil dan berperikemanusiaan.

GLOBAL ENGGAN BERTINDAK

Walaupun dunia menyaksikan penderitaan luar biasa di Gaza, tindak balas antarabangsa terhadap laporan rasmi PBB yang mengklasifikasikan tindakan rejim Israel sebagai genosid masih mengecewakan.

Keengganan global untuk bertindak bukan sahaja mencerminkan kegagalan diplomasi tetapi juga menunjukkan bagaimana kepentingan politik dan ekonomi sering mengatasi nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Dalam era di mana maklumat tersebar pantas dan penderitaan dapat disaksikan secara langsung, sikap berdiam diri oleh negara-negara kuasa besar menjadi pengkhianatan terhadap prinsip keadilan serta hak asasi manusia.

Keengganan untuk bertindak secara tegas terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa memberi kesan besar terhadap kredibiliti institusi global seperti PBB, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan badan-badan hak asasi manusia.

Ketika berdepan dengan tekanan geopolitik, institusi-institusi ini dilihat gagal melaksanakan mandat mereka secara konsisten dan berkesan.

Hal ini mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan masyarakat global, terutamanya apabila undang-undang antarabangsa kelihatan hanya terpakai kepada negara-negara kecil dan lemah.

Ketidakadilan ini membuka ruang kepada pelanggaran hak asasi manusia yang lebih meluas di masa hadapan, kerana pelaku tahu mereka boleh bertindak tanpa sebarang akibat.-UTUSAN

 

DR. Ahmad Shah Pakeer Mohamed ialah Pensyarah Kanan Bidang Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×