Delbove tawan Bukit Fraser

Delbove tawan Bukit Fraser

Joris Delbove (dua dari kiri) menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan manakala Matteo Malucelli (dua dari kanan) mengekalkan gelaran raja pecut selepas peringkat kelima berakhir di Bukit Fraser, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Pelumba Perancis, Joris Delbove mewakili pasukan Total Energies melakar kejayaan bergaya apabila menawan pendakian Bukit Fraser untuk muncul juara peringkat kelima yang juga dianggap Queen Stage Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, semalam.

Berlumba sejauh 123.1 kilometer (km) dari Temerloh, Delbove, 25, membuat percaturan tepat melakukan serangan solo berbaki 1.6km menuju garisan penamat untuk mencatat masa tiga jam 25 saat.

“Matlamat kami memang mahu menang di peringkat ini kerana ia penting untuk klasifikasi keseluruhan. Persaingan terlalu sukar, tetapi saya berjaya lakukannya dan sangat gembira. Jersi hijau ini bonus.

“Saya mengekori Johannessen dan Voisard sebelum memutuskan untuk memecut. Ketika itu tinggal 1km yang sukar, selepas itu lebih landai, jadi saya berikan segalanya sehingga ke garisan penamat,” kata Delbove.

Strategi itu menghadiahkan kemenangan tipis kepada Delbove selepas menewaskan Anders Halland Johannessen (Uno X Mobility) dan Yannis Voisard (Tudor Pro Cycling) yang sekadar dua saat di belakang.

Lebih manis, kejayaan itu turut membolehkan Delbove merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan terkumpul 16:16:34s, mengatasi Johannessen dan Adrien Maire (Unibet Tietema Rockets) yang ketinggalan enam saat.

Dalam pada itu, peluma XDS Astana, Matteo Malucelli masih mengekalkan jersi Oren (Raja Pecut) dengan 57 mata, manakala Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) terus mempertahankan gelaran Raja Bukit biarpun berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar mewakili pasukan Burgos Burpellet BH.

Turut mencuri tumpuan ialah anak kepada legenda Kazakhstan, Nicolas Vinoukorov (XDS Astana) yang merampas jersi putih (pelumba terbaik Asia) dengan masa 16:16:48s, meninggalkan Sainbayar dan Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Team).

Saingan LTdL 2025 bakal diteruskan hari ini dengan peringkat keenam sejauh 123.5km dari Shah Alam ke Port Dickson, yang menawarkan tiga zon pecutan di Jenjarom, Banting dan Sungai Pelek yang juga merupakan laluan yang dijangka berpihak kepada pakar pecut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN