PETALING JAYA: Penembak muda negara, Gan Chen Jie enggan meletakkan tekanan berlebihan menjelang penampilan sulungnya di Sukan SEA Thailand apabila hanya mahu fokus membantu pasukan meraih pingat dalam acara 10 meter (m) air raifal serta 50m raifal tiga posisi.
Pemenang tujuh pingat emas SUKMA Sarawak 2025 itu mengakui dia tidak mensasarkan emas, sebaliknya mahu memastikan sumbangan terbaiknya dapat membantu pasukan negara berada di podium tanpa pulang dengan tangan kosong.
“Saya tidak sasar emas, saya cuma harap dapat bantu pasukan saya dapat pingat.
“Perkara itu saya tidak anggap tekanan, cuma saya nak buat yang terbaik untuk bantu pasukan saya sebab kita memang ada peluang dalam acara pasukan,” kata Chen Jie.
Bekas perenang berirama kebangsaan itu turut mengakui perjalanan menuju temasya dwitahunan berkenaan cukup mencabar kerana perlu menyesuaikan diri dengan disiplin sukan baharu yang mula diceburinya sejak 2019.
Chen Jie bagaimanapun optimis dengan persiapan mereka selepas menjalani beberapa siri simulasi pertandingan serta perkongsian pengalaman bersama penembak senior dalam pasukan.
Bakal berganding bahu dengan dua penembak berpengalaman, Nur Suryani Mohd. Taibi dan Alia Husna Budruddin, Chen Jie yakin keserasian mantap antara mereka bakal menjadi aset penting kepada pasukan
“Kami banyak kongsi pengalaman antara kami, memang sangat membantu sebab masing-masing ada kekuatan sendiri,” katanya.
Skuad menembak kali ini menampilkan seramai 29 atlet yang akan beraksi dalam tiga disiplin utama iaitu rifle, pistol dan shotgun, merangkumi lebih 15 acara termasuk kategori individu dan berpasukan.
Selain penembak berpengalaman seperti Suryani, atlet menembak Olimpik Paris 2024, Jonathan Wong serta pemenang pingat Sukan SEA, Alia Sazana Azahari dan Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin turut menjadi sandaran dalam membawa kilauan tersebut. – UTUSAN










