“YANG amat ajaib adalah peperangan antara otak dan hati. Beberapa saat dia dapat dilupakan dan hati mengikut dengan patuh apa kehendak otak. Tapi bila kelihatan rumah tangganya atau kelihatan rupanya sendiri dan kadang-kadang bila namanya disebut orang, hati lupa akan perintah otak.” – Buya Hamka.
Sudah jadi adat netizen di Malaysia suka memperbesar-besarkan hal remeh dan selesa mengkritik perkara sensasi tanpa mendalami isu sebenar.
Terkini kecoh di ruangan komen semua media sosial baik di Facebook, X mahupun TikTok mengecam sambutan yang diberikan kepada delegasi dari Amerika Syarikat (AS) yang dikepalai oleh Donald Trump.
Ada yang pedih mata dengan tarian sumbang pemimpin negara itu. Ada yang begitu lantang mengecam sambutan yang dianggap besar-besaran untuk delegasi dari negara yang merupakan pendukung utama negara haram Israel. Tidak kurang ada yang lebih keras menolak persembahan tarian tradisional sebagai pengkhianatan.
Ramai sekali yang kecewa apabila melihat sambutan Malaysia terlalu mesra. Mereka membandingkan sambutan oleh Jepun ketika Trump ke negara itu. Malah ramai juga politikus merasakan sambutan itu ‘pekak-ton’ dalam pada sekutu AS yakni Israel sudah beberapa kali menculik rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Palestin dan ketika Israel berterusan melanggar perjanjian gencatan senjata.
Sudah tentu sentimen rakyat Malaysia munasabah memandangkan sejak dahulu lagi Malaysia terkenal sebagai penyokong tegar Palestin. Tidak dinafikan sambutan besar-besaran penuh kemesraan kepada delegasi AS mampu memberikan isyarat bercanggah kepada dunia apatah lagi gerak kerja oleh aktivis kemanusiaan di serata negara yang tidak pernah leka memberikan advokasi mengenai genosid dilakukan sekutu AS terhadap rakyat di Gaza.
Tindak balas netizen sudah tentu boleh dinilai sebagai munasabah.
Namun, dalam pada rakyat kecoh memperdebatkan dengan hangat isu upacara sambutan itu, saya lihat ramai antara kita alpa dan masih berdiam diri daripada menyatakan kritikan keras terhadap intipati Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara AS dan Malaysia pada 26 Oktober lalu. Fokus netizen masih belum beralih kepada isu. Ada yang kata perjanjian itu boleh menggugat kedaulatan negara.
Ini termasuklah Artikel 3 yang didakwa dengan angkuh menyatakan Malaysia kini harus merujuk kepada AS sebelum sebarang perjanjian perdagangan digital boleh dimeterai dengan mana-mana negara luar lain.
Adakah sebagai negara berdaulat dengan kuasa autonomi sendiri, kini Malaysia memperakui AS sebagai ‘abang besar’ yang harus disembah setiap kali berunding dengan negara luar?
Nampaknya begitulah. Wujud dakwaan waima dalam perdagangan digital Malaysia harus mempertimbangkan kepentingan AS terlebih dahulu.
Tambahan lagi, Artikel 5 didakwa lebih bersifat biadab apabila meletakkan syarat jika AS mengenakan sebarang duti kastam, kuota, larangan, yuran, caj atau sekatan import lain terhadap mana-mana negara bagi memelihara kepentingan ekonomi dan keselamatan nasional AS, maka Malaysia harus turut sama mengambil tindakan serupa terhadap negara luar berkenaan.
Bukankah terma sebegini merendahkan setiap perjanjian perdagangan lain yang pernah dan akan dimeterai Malaysia dengan mana-mana negara luar? Misalnya, jika AS melihat negara luar seperti China sebagai ancaman terhadap kepentingan perdagangan AS, maka Malaysia juga harus mengambil langkah aktif untuk menzahirkan sekatan perdagangan terhadap China. Meskipun jika selama ini China merupakan rakan kerjasama perdagangan Malaysia yang harmoni dan lebih menguntungkan berbanding AS.
Di bawah Jadual Perjanjian tersebut juga, Malaysia bersetuju untuk membeli tiga juta tan gas asli cecair (LNG) setahun dari AS dengan nilai sekitar AS$2.04 bilion (RM8.6 bilion) setahun.
Bukan itu sahaja, Malaysia Aviation Group turut bersetuju untuk membeli 30 pesawat Boeing. Ini adalah harga yang harus ditunaikan Malaysia bagi menurunkan pengenaan tarif oleh AS.
Dalam pada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) baru saja memberhentikan pekerja syarikat itu secara beramai-ramai, kini dikenakan pula beban kewangan tambahan. Seolah-olah kerajaan Malaysia akan terus memerah susu lembu tua yang sudah kurus kering bagi memuaskan tuntutan luar.
Kerana itulah rakyat Malaysia sepatutnya lupakan hal remeh-temeh yang asyik diulit sentimen. Mari kita beringat pesan orang lama ‘alpa negeri alah, sia-sia hutang tumbuh’.
Kelmarin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun menyatakan tidak wujud istilah ‘serah tengkuk’ kepada AS dalam ART, walaupun di bawah tekanan tarif unilateral sejak Mei 2025 sebaliknya rundingan itu sebagai langkah strategik untuk mengekalkan akses Malaysia ke pasaran eksport AS.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










