ISKANDAR PUTERI: Aksi penuh debar di peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Melaka ke Medini semalam menyaksikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Aiman Rosli mencipta detik bersejarah di tempat kelahirannya apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Lebih manis, pelumba berusia 26 tahun itu hampir menjulang kemenangan di hadapan penyokong sendiri selepas hanya dua saat dipisahkan dengan juara, Zeb Kyffin dari pasukan Unibet Tietema Rockets yang mencatat masa empat jam 37 minit 39 saat.
Aiman yang mula membuat pemecahan seawal kilometer 46.9, tidak mengenal erti penat sepanjang laluan sejauh 214.9km menjadikannya pelumba paling menonjol pada peringkat terpanjang dalam edisi kali ini.
Drama penentuan bermula apabila berbaki 10km terakhir, Aiman dan Kyffin berpadu tenaga melepaskan diri daripada peloton, namun segalanya ditentukan pada 400 meter terakhir apabila pelumba Britain itu memecut lebih awal untuk melintasi garisan penamat terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi. Saya bangga sebab ibu saya datang tengok. Selalunya dia jarang datang, jadi saya memang nak menang sebab di Johor iaitu negeri saya sendiri.
“Dapat nombor dua pun saya reda. Saya dah cuba sehabis baik dari hari pertama sampai hari ketujuh.
“Tak tahu nak cakap apa dah,” katanya sambil tersenyum keletihan selepas menamatkan perlumbaan sejauh 214.9km.
Peloton utama yang diketuai pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn, tiba 10 saat kemudian, sekaligus meletakkan pelumba Belanda itu di tempat ketiga.
Sementara itu, jersi hijau pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba TotalEnergies, Joris Delbove. – UTUSAN










