PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) diramal bakal membariskan muka sama dalam misi mereka memburu pingat emas di Sukan SEA 2025 Thailand yang diadakan Disember ini.
Jangkaan itu dibuat berdasarkan pencapaian terbaik atlet negara yang rata-ratanya melakukan catatan musim terbaik mereka di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Ogos lalu.
Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menjadi prospek pingat negara dalam acara 100 meter (m) lelaki selepas Muhammad Azeem Fahmi dilaporkan sah tidak mengambil bahagian dalam temasya tersebut.
Antara atlet lain yang dijangka beraksi di Bangkok nanti adalah pelari jarak jauh negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari, Umar Osman, M Sanjay dan Kristian Tung, Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jonah Chang Rigan (lontar peluru), Andre Anura (lompat jauh dan lompat kijang).
Bagi atlet wanita pula sandaran diletakkan kepada pemegang rekod 100m kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Aishah Rofina Aling, Azreen Nabila Alias, Mandy Goh Li (400m berpagar), Grace Wong (tukul besi), Nor Sarah Adi (lompat galah) dan Queenie Ting (lempar cakera).
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli berkata, berdasarkan trend dalam tiga edisi terakhir menyaksikan banyak pingat emas disumbangkan dalam acara padang dan bukannya trek.
Katanya, penting untuk olahraga negara kembali menyinar dalam acara trek yang kini dilihat semakin kritikal berikutan tiada lagi nama besar yang dilahirkan.
“Bukan nak ketepikan padang tetapi kita kena hasilkan semula pelari yang boleh menyerlah. Acara trek kita semakin kritikal berbanding padang di mana kita masih dibarisi atlet yang sama.
“Apalah seronoknya sukan olahraga kita kalau tak menang acara trek. Tak kan nak berbangga menerusi acara padang sahaja,” katanya. – UTUSAN










