Tiga calon pengganti Amorim

Tiga calon pengganti Amorim

RUBEN AMORIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurusan tertinggi Manchester United dilaporkan telah menyenaraikan tiga orang calon sekiranya keputusan dibuat untuk menggantikan pengendali sekarang, Ruben Amorim.

Biarpun lembaga pengarah The Red Devils masih memberi sokongan kepada Amorim, langkah berjaga-jaga tetap diambil oleh kelab berkenaan.

Tiga calon berkenaan ialah Oliver Glasner (Crystal Palace), Andoni Iraola (Bournemouth) dan Fabian Hurzeler (Brighton), namun tiada perbincangan setakat ini.

Masa depan Ruben Amorim di United kembali hangat diperkatakan selepas kalah 1-2 kepada Brentford menyaksikan rekod hambarnya berterusan.

Pengendali kelahiran Portugal itu merekodkan 17 kekalahan dalam 33 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak mengambil alih jawatan di Old Trafford.

Glasner, 51, mencipta sejarah bersama Palace musim lalu dengan menjulang Piala FA pertama kelab itu dan kini mengekalkan rekod tanpa kalah, termasuk menumbangkan Liverpool 2-1.

Iraola pula membawa Bournemouth ke tangga kesembilan musim lalu, manakala musim ini The Cherries mengejutkan ramai apabila berada di tempat ketiga walaupun kehilangan tonggak utama seperti Dean Huijsen, Ilya Zabarnyi dan Milos Kerkez.

Di Brighton, Hurzeler yang menggantikan Roberto De Zerbi tahun lalu berjaya menamatkan musim di tempat kelapan dan baru sahaja membimbing The Seagulls menundukkan Chelsea 3-1 untuk naik ke tangga ke-10. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN