Tiada tempat bagi kaki lompat di Sabah

Tiada tempat bagi kaki lompat di Sabah

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK Sabah semakin hangat dengan pelbagai isu berkaitan kerjasama dan kedudukan parti-parti utama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). 

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, DATUK SERI BUNG MOKTAR RADIN menjelaskan walaupun dalam suasana warna-warni ini tetap tiada tempat lagi bagi mereka yang sering ‘melompat’ atau mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kesetiaan kepada rakyat dan parti. 

Malah dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia,  AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau yakin BN masih mempunyai potensi besar untuk kembali memimpin Sabah. Ia memandangkan rakyat semakin menuntut perubahan serta kepimpinan yang mampu menangani isu asas yang selama ini menjadi legasi masalah tanpa penyelesaian efektif.

Dalam temu bual dibantu jurufoto, AMIR KHALID, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mengatakan kesetiaan juga menjadi titik penting dalam landskap politik Sabah. Pemimpin yang sering mengkhianati parti demi kepentingan diri sendiri bukan sahaja merugikan BN, tetapi turut menjejaskan kemajuan negeri. 


 

KEPENTINGAN BN, GRS BERBEZA

Tiada perbincangan antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kepentingan kedua-dua pihak terlalu berbeza. BN mahu mempertahankan 14 kerusi yang dimenangi, namun GRS berhasrat mengambil enam daripadanya. Oleh itu, BN memutuskan hanya akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana tiada persetujuan dicapai dan perbincangan (dengan GRS) tidak dapat diteruskan. Segala-galanya terhenti di situ.

Walaupun sebelum ini Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan PKR akan menjadi pendamai antara BN dan GRS, namun kami telah memutuskan hala tuju dan kita hanya bekerjasama dengan PH dan parti-parti lain. Kita tiada rudingan dan akan berlawan dengan mana-mana parti.

Saya tidak nampak isu ini boleh menjejaskan kerjasama di peringkat Pusat. Kita perlu faham kerajaan negeri dan Persekutuan berbeza. Di Sarawak juga begitu.

 

AUTONOMI SABAH

 

Dalam Perlembagaan Pilihan Raya, dinyatakan watikah pelantikan calon mesti ditandatangani oleh ketua parti. Saya bukan ketua parti sebaliknya hanya memegang jawatan sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah. Perkara ini perlu difahami semua pihak.

Namun begitu, dari segi strategi, hala tuju parti, penentuan kawasan dan pemilihan calon yang akan bertanding merupakan hak serta budi bicara kepimpinan di peringkat negeri.

 

KEDUDUKAN BN MASIH RELEVAN

 

Setakat ini, saya melihat BN mempunyai potensi besar untuk menarik sokongan daripada parti-parti lain. Ini kerana kita telah bekerja keras sejak tiga hingga empat tahun lalu, bukan sahaja di peringkat organisasi tetapi juga dalam mendekati dan memahami keperluan rakyat.

Sambutan positif yang diterima daripada rakyat mungkin juga berpunca daripada rekod cemerlang BN ketika mentadbir negeri Sabah. Sebelum BN mengambil alih pentadbiran, Sabah berada jauh ketinggalan, sekitar 20 hingga 30 tahun di belakang negeri-negeri lain dari segi pembangunan.

Namun, selepas BN memimpin kerajaan, kita berjaya mewujudkan sistem pembangunan yang lebih tersusun serta memperkukuh ekonomi negeri. Inilah yang mungkin menjadi faktor utama mengapa rakyat kini merindui dan ingin melihat kembalinya pemerintahan BN di Sabah.

BN bukan lagi berada di posisi pembangkang. Kini, kita membawa diri sebagai sebuah parti yang bersedia untuk membentuk kerajaan iaitu inviting party yang terbuka kepada rundingan dan kerjasama.

Dalam menuju proses pembentukan kerajaan nanti, kita tidak terikat dengan mana-mana pihak secara mutlak. Yang paling penting, UMNO dan BN akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi, lebih banyak daripada parti-parti lain.

Ini bermakna, selepas pilihan raya ini, BN perlu tampil sebagai blok yang dominan bagi memastikan kestabilan dan hala tuju kerajaan yang kukuh serta berwibawa.

 

TOLAK DAKWAAN LANGKAH SABAH TANPA LIBAT SEMUA WAKIL UMNO-BN

Sebetulnya, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya silap. Sebenarnya, beliau sudah maklum perkara itu. Saya memanggilnya untuk berbincang secara bersemuka dan banyak perkara dibangkitkan ketika itu.

Namun, apa yang saya perhatikan ialah apabila ada peluang, beliau cenderung bertindak mengikut kepentingan peribadi. Beliau tidak mengutamakan parti tetapi kedudukan dirinya sendiri.

Atas dasar ingin memposisikan semula dirinya, beliau tidak menyokong keputusan parti dan menerima jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri, meskipun pada pandangan saya, beliau tidak layak untuk jawatan tersebut disebabkan tiada rekod perjuangan yang jelas bersama parti, malah sanggup mengetepikan prinsip dan maruah parti demi kedudukan.

Inilah realiti yang perlu kita fahami, beliau sanggup ‘menggadaikan’ kesetiaan kepada parti demi kelangsungan politik peribadi. Itulah Shahelmey.

Saya juga difahamkan yang beliau merancang untuk meninggalkan parti dan bertanding atas tiket parti lain dalam pilihan raya akan datang. Saya mengalu-alukan keputusan tersebut, kerana ini adalah peluang untuknya membuktikan sama ada kemenangannya dahulu adalah kerana kekuatan BN atau semata-mata kerana dirinya sendiri.

Jika benar beliau yakin pada kekuatan sendiri, tidak perlu tunggu pembubaran.  Letaklah jawatan sekarang seperti anak jantan.

Kalau benar mahu bertanding atas nama maruah dan prinsip, maka buktikan. Jangan hanya berselindung di sebalik jawatan dan kuasa.

 

JAWAB DAKWAAN  MENUTUP PELUANG SHAHELMEY BERTANDING

UMNO sentiasa memberi keutamaan kepada calon yang menunjukkan kesetiaan jelas kepada parti. Bukan kepada individu yang suka melompat parti atau mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi, seperti yang dilakukan oleh beliau.

Sikap sedemikian langsung tidak mencerminkan nilai kesetiaan yang diperlukan untuk menjadi wakil parti. Jika seseorang itu tidak mampu menunjukkan komitmen dan prinsip terhadap perjuangan parti, bagaimana mungkin beliau layak dijadikan calon?

Kesetiaan adalah perkara asas dalam politik, tanpa itu, segala perjuangan akan menjadi kosong. UMNO tidak akan mempertaruhkan nasib parti kepada individu yang tidak berpegang pada prinsip ini.

 

LOMPAT PARTI PUNCA PEMBANGUNAN TERBANTUT

Sebenarnya, tidak benar jika dikatakan ramai ahli UMNO Sabah lompat parti. Setakat ini, jumlah keahlian UMNO Sabah terus meningkat. Dahulu kita ada kira-kira 530,000 ahli, dan kini sudah mencecah 615,000 orang. Jika benar ramai yang keluar, bagaimana jumlah ahli boleh terus bertambah?

Yang berlaku sebenarnya ialah beberapa pemimpin yang keluar parti, bukan ahli biasa. Dan dalam kalangan mereka kini berada dalam GRS, hampir semuanya terdiri daripada golongan yang  beberapa kali melompat parti. Bukan sekali, tetapi dua hingga tiga kali.

Inilah antara punca mengapa pembangunan Sabah terbantut. Apabila pemimpin terlalu mementingkan kepentingan peribadi dan bukan rakyat, maka tiada hala tuju yang jelas. Asal ada peluang, mereka berpindah, bukan kerana prinsip tetapi mementingkan kedudukan.

Namun kali ini, kita ambil pendirian tegas. Tidak akan ada tempat lagi dalam BN untuk mereka yang mempunyai rekod lompat parti. Soal calon, khususnya berkaitan individu seperti Shahelmey, saya boleh tegaskan  beliau tidak akan dicalonkan semula di bawah BN.

Presiden parti memberikan ruang kepada kepimpinan negeri untuk menentukan calon yang sesuai. Dan sebagai Ketua UMNO Sabah, itu adalah hak dan tanggungjawab saya. Kita akan pilih calon yang boleh diterima rakyat,  bukan mereka yang dikenali sebagai ‘kaki lompat’.

Realitinya, rakyat pun sudah menolak tokoh seperti Shahelmey. Di Putatan dan Tanjung Keramat sendiri, masyarakat tidak lagi mahu menerima beliau. Ini bukan soal peribadi tetapi soal prinsip dan kepercayaan rakyat yang tidak boleh dikompromi.

 

TIDAK MAHU ULANGI KESILAPAN LAMA

Saya tidak mahu mengulas tentang parti-parti lain. Namun, bagi saya, apabila kita bekerjasama, keikhlasan itu perlu ditunjukkan secara bersama, bukan hanya dari satu pihak.

Setakat ini, proses penentuan calon mencapai sekitar 90 peratus pada peringkat awal, dan kini hampir selesai sepenuhnya. Namun begitu, kita akan terus membuat penelitian akhir kerana dalam pilihan raya, matlamat utama kita ialah mencapai kemenangan.

Buat masa ini, pelbagai agensi dan pasukan saya sedang turun padang untuk melakukan tinjauan terakhir terhadap calon-calon yang dikenal pasti. Kita mahu menilai sejauh mana penerimaan rakyat terhadap mereka, kerana saya tidak mahu kita ulangi kesilapan dalam pemilihan calon seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Proses pemilihan ini akan dimuktamadkan sebelum pembubaran  dan kali ini memang ada perjanjian.

Kita menyediakan lima bentuk perjanjian yang perlu ditandatangani oleh semua calon yang terpilih. Ini bagi memastikan mereka kekal setia kepada parti dan tidak berulang insiden seperti calon yang walaupun tidak keluar parti tetapi  bertindak menyokong pihak lawan. Ia adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan.

Kita akan pastikan perkara seperti yang berlaku dengan Shahelmey tidak berulang lagi. Setiap calon mesti menandatangani perjanjian tersebut sebelum mereka diumumkan secara rasmi sebagai calon.

 

ANGKAT ISU INFRASTRUKTUR

Memang jelas, kerajaan GRS gagal mewujudkan infrastruktur asas yang baik untuk rakyat negeri Sabah. Masalah ini ketara dalam pelbagai aspek, khususnya keadaan jalan raya yang daif di seluruh negeri serta isu bekalan air bersih dan elektrik yang masih belum diselesaikan dengan berkesan.

Lebih membimbangkan, jalan-jalan negeri kini dikonsesikan kepada pihak swasta untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Peranan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pula semakin terpinggir. Ini kerana hampir keseluruhan jalan negeri diserahkan kepada kontraktor-kontraktor terpilih yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak tertentu. Ia menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan keutamaan terhadap kepentingan rakyat.

Ada pihak yang berpendapat, walaupun kerajaan ditukar sekalipun, isu-isu ini tetap tidak akan selesai. Namun saya berpegang pada prinsip masalah tidak akan selesai jika pemimpin tidak benar-benar berhasrat untuk menyelesaikannya. Tetapi jika pemimpin itu berjiwa Sabah, ikhlas mahu memajukan negeri, maka penyelesaian pasti akan dicari.

Isu-isu infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik  adalah legasi sesebuah kerajaan. Sebagai pemimpin, kita mesti ada perancangan yang strategik dan komitmen jangka panjang untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Ini bukan soal individu, ia adalah tanggungjawab kerajaan negeri secara kolektif. Maka perlu ada kebijaksanaan dalam tadbir urus.

Kalau kita serahkan kepada mereka yang tidak bijak, yang kerap memberi jawapan dangkal, beginilah hasilnya. Rakyat Sabah semakin bijak menilai dan mereka mahukan perubahan yang membawa penyelesaian sebenar.

 

SENTIMEN ‘SABAH FOR SABAHAN’ TIDAK MEMPENGARUHI KEMPEN

Dulu mereka melaungkan slogan ‘Sabah for Sabahan dan ‘Rumah kita, kita jaga’ kononnya mahu menjaga negeri sendiri di bawah GRS. Tapi hari ini, apa yang berlaku? Rumah sendiri pun kini dijaga oleh Malaya. Segala urusan dan keputusan penting kembali bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.

Setiap perancangan yang kononnya dirancang GRS, khususnya berkaitan kemudahan infrastruktur, sepatutnya diteruskan jika benar-benar bermanfaat. Tetapi malangnya, saya tidak nampak sebarang perancangan yang jelas pun.

Kita  minta penjelasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya mengenai isu air  namun tiada sebarang pelan atau makluman diberikan. Untuk jalan raya pula, mereka serahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan. Begitu juga dengan isu elektrik, tiada pelan konkrit. Bila kerajaan negeri sendiri tiada perancangan jangka panjang untuk membangunkan negeri, masa hadapan Sabah memang akan terus terbantut.

Itulah sebabnya, sampai hari ini Sabah masih kekal sebagai negeri paling mundur di Malaysia. Malah, lapan daripada daerah termiskin negara terletak di Sabah.

Namun, melalui perancangan yang gariskan dalam manifesto, kita beri jaminan  lapan daerah termiskin ini akan dikeluarkan daripada senarai kemiskinan tegar dalam tempoh tiga tahun. Antaranya Kinabatangan, Beluran, Kudat, Kota Belud dan beberapa daerah lain.

Pun begitu, untuk menyelesaikan isu infrastruktur asas secara menyeluruh, ia memerlukan perancangan yang lebih panjang.

Contohnya, isu bekalan elektrik tidak terlalu rumit dan boleh diselesaikan dalam masa lebih singkat. Namun, isu air jauh lebih kompleks. Kita memerlukan tempoh lima hingga 10 tahun kerana sistem paip bawah tanah yang digunakan sekarang sudah terlalu lama dan tidak efisien.

Tidak guna kita bina loji rawatan air baharu atau empangan sekalipun, jika sistem paip lama tidak diganti. Air tetap tidak akan sampai ke rumah rakyat.

 

BN POTENSI MENANG TANPA SABOTAJ

Antara cabaran utama yang saya lihat dalam PRN kali ini adalah kemungkinan berlakunya unsur sabotaj khususnya daripada mereka yang tidak terpilih sebagai calon. Namun, jika semua pihak dapat mengetepikan kepentingan peribadi dan bersatu hati, insya-Allah BN berpotensi memenangi antara 26 hingga 27 kerusi.

Saya sudah beberapa kali menyampaikan mesej ini secara terbuka, termasuk ketika berucap dalam pelancaran program High Impact bersama UMNO Sabah. Saya menegaskan PRN kali ini amat penting, bukan hanya untuk UMNO dan BN di Sabah, tetapi juga untuk membuka jalan kepada kebangkitan di peringkat nasional.

Saya juga telah memaklumkan dengan jelas kepada semua pemimpin dan ahli, agar tidak sesekali mengizinkan diri mereka terlibat dalam sebarang bentuk sabotaj terhadap parti. 

Presiden UMNO sendiri  berpesan kepada saya yang mana-mana pemimpin  tidak terpilih untuk bertanding akan tetap diberi ruang dan peluang, sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan negeri. Jawatan di pelbagai peringkat negeri boleh dipertimbangkan untuk mereka yang setia dan terus menyumbang kepada parti.

Sebab itu, kemenangan di Sabah amat penting. Ia bukan sahaja akan mengangkat kembali kekuatan UMNO dan BN di peringkat negeri tetapi juga akan memberi isyarat yang kuat kepada pengundi di Semenanjung. Ini akan mempengaruhi landskap Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan membuka peluang bagi BN kembali menerajui pentadbiran negara.

Namun begitu, saya ingin tegaskan sekiranya ada mana-mana pemimpin atau ahli UMNO yang cuba mensabotaj parti, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi. 

UMNO tidak akan bertolak ansur. Seperti yang berlaku dalam PRN enam negeri sebelum ini, beberapa pemimpin  digantung atau diambil tindakan disiplin kerana perbuatan serupa.

Kesetiaan kepada parti adalah prinsip yang tidak boleh dijual beli. Kalau kita mahu menang dan membina semula kekuatan, semua pihak mesti bersama, bukan menikam dari belakang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×