KETIKA seluruh negara merayakan 62 tahun usia gabungan Malaysia pada 16 September, Sabah ditimpa duka dengan banjir besar dan tanah runtuh sehingga mengakibatkan belasan terkorban, terputusnya bekalan elektrik serta air dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Dalam hiruk-pikuk sambutan kemerdekaan dan kebanggaan negara yang telah dewasa, wujud sisi kehidupan lain masyarakat Sabah yang tidak diketahui ramai iaitu perjuangan anak-anak kecil yang hidup tanpa dokumen, namun masih mendambakan pendidikan asas.
Musim hujan sebegini mengingatkan kami kepada perjalanan di Kota Kinabalu pada penghujung tahun lalu. Di Sepanggar, kami dibawa menyusuri titian kecil menuju ke sebuah sekolah alternatif yang dibangunkan oleh komuniti setempat di pinggir sungai.
Laluannya sempit di atas paya yang penuh dengan sampah sarap dan padat dengan rumah kayu setinggan. Seperti titian sirat bayangannya, jika kami tersilap langkah, pasti akan jatuh.
Selepas berjalan sekitar satu kilometer (km), kami tiba di sebuah pondok terbuka dan disambut dengan alunan berzanji oleh anak-anak kecil yang lengkap berjubah serta berserban.
Tidak kami sangka ada sekolah di kawasan sebegini. Kami bawakan buku, berinteraksi dan bercerita tentang dunia buku serta berbagi semangat dengan mereka.
Rupanya di sini ada lebih 100 orang anak-anak tanpa dokumen, lantas digelar ‘tidak bernegara’ – yang miskin dan terpinggir. Mereka belajar asas membaca, menulis dan mengira (3M) serta pelajaran agama Islam. Sebak dan terharu melihat kesungguhan anak-anak dan pengorbanan guru-guru sukarelawan yang mengajar di sana.
Pulang dari sekolah yang dibangunkan Pertubuhan Tarbiyatun Nisa itu, hujan lebat mengiringi kami dan laluan masuk tadi dilanda banjir. Tiada pilihan lain untuk keluar dari kawasan tersebut. Kami meredah sahaja laluan itu.
Takungan air kotor yang berbau hanyir di situ tidak menghilangkan rasa hiba di hati tatkala melihat kuatnya usaha dan semangat anak-anak di sana mendapatkan pendidikan.
Dua tahun kebelakangan ini juga saya mengikuti misi pendidikan untuk anak-anak tidak berdokumen di sekolah yang dibangunkan komuniti setempat di sebuah kampung terpencil di penghujung Lahad Datu.
Kami terbang dari Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi dan tiba di Pusat Pembangunan Modal Insan Kampung Tagupi Laut pada pukul 6 petang. 12 jam perjalanan yang begitu mencabar dan mendebarkan.
Khabar terkini diterima ketika mendarat di Tawau adalah orang kampung dibaham buaya ketika keluar menangkap ikan. Kebanyakan penduduk di sana bekerja sebagai nelayan atau buruh di ladang sawit. Taraf sosioekonomi mereka selari dengan imej kepinggiran wilayah kediaman mereka.
TAGUPI MEMBACA
Misi program Tagupi Membaca pada 2025 diperkemaskan dengan lima agenda utama iaitu pertama, meningkatkan fasiliti sekolah. Kami bawakan tajaan lampu solar, atap zink serta perbaikan perabot sekolah.
Kedua, program modul guru daripada pensyarah pendidikan.
Ketiga, bimbingan undang-undang daripada peguam untuk urusan dokumentasi, khususnya permohonan kewarganegaraan.
Keempat, program pemeriksaan kesihatan oleh doktor-doktor untuk guru dan masyarakat kampung.
Akhir sekali adalah program motivasi pelajar dan wakaf buku yang dikelola secara langsung oleh pasukan Jejak Tarbiah.
Program integrasi sebegini memberikan impak bermakna kepada usaha penambahbaikan taraf hidup masyarakat terpinggir yang tersekat daripada menikmati pendidikan, ekonomi dan sosial yang baik disebabkan isu dokumentasi kewarganegaraan serta kemiskinan yang tidak berkesudahan di wilayah ini.
Menjadi fasilitator kepada anak-anak tanpa dokumen bukanlah perkara yang mudah. Ada tiga kategori pelajar di sini iaitu tadika, sekolah rendah dan kelas kemahiran. Sekolah rendah tidak berjalan mengikut usia pelajar tetapi tahap kemahiran dalam 3M.
Maka, tidak mengejutkan apabila pelajar darjah enam berusia antara 15 hingga 19 tahun. Mereka ada cita-cita seperti kita mahu menjadi tentera, polis, doktor, guru, bomba tetapi mereka tiada dokumen.
Kami sendiri awalnya agak bingung untuk memberi motivasi kepada mereka. Namun peribadi santun dan sifat malu serta keterujaan mereka menyambut kedatangan kami cukup untuk berasa kami boleh memberikan mereka ‘sesuatu’.
Sesungguhnya Tuhan tidak pernah mensia-siakan kewujudan seorang manusia, walau terpinggir di hujung wilayah ini.
Usaha sebegini bukan sekadar kerja kebajikan sebaliknya tindakan strategik demi membina benteng masa hadapan.
Jika anak-anak ini dibiarkan tanpa ilmu, kita sedang menempah risiko sosial yang lebih parah. Ia boleh mengakibatkan pengangguran, jenayah atau keterjebakan dalam aktiviti haram. Sebaliknya, apabila mereka diberi peluang membaca, menulis dan mengira, golongan ini sedang dilatih menjadi manusia berdaya walau menanti diiktiraf negara.
Isu anak-anak tanpa dokumen di Sabah bukan perkara baharu. Generasi demi generasi lahir daripada perkahwinan campur, migrasi tanpa rekod atau sejarah penjajahan yang meninggalkan legasi identiti kabur. Ramai antara mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah kerajaan kerana status kewarganegaraan yang dipertikai.
Di mata undang-undang, mereka ‘tiada negara’. Akan tetapi di mata manusia, mereka tetap anak kecil yang mahu belajar, mahu berlari mengejar cita-cita, mahu merasai menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Jurang ini antara realiti sosial dan birokrasi adalah luka yang semakin melebar jika dibiarkan.
Setakat ini, kami hanya mampu memujuk diri, semoga dengan buku-buku dan segala bantuan yang dibawa, anak-anak ini tidak patah semangat meski masa hadapan mereka terasa masih kabur.
Semoga dengan latihan kepada guru-guru yang ikhlas mengajar walaupun serba kekurangan dan tiada jaminan bayaran gaji mendorong mereka terus cekal mendidik anak bangsa.-UTUSAN
PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca, Ketua Pegawai Eksekutif JT Publishing House dan Pengasas Komuniti Buku Jejak Tarbiah.










