Sukma 2026: Selangor catat rekod

Sukma 2026: Selangor catat rekod

MOHD. Najwan Halimi (tengah) pada sidang akhbar penganjuran Sukma Selangor 2026 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor selaku hos Sukan Malaysia (Sukma) 2026 mempertandingkan 474 acara sekali gus mencatat rekod temasya sepanjang ia dianjurkan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, ia melibatkan 30 jenis sukan teras dan tujuh sukan tambahan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukma, Ogos lalu.

“Daripada 474 acara sukan itu, ia membabitkan 239 acara melibatkan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran. Tujuh acara tambahan tersebut adalah sukan e-Sport, kriket, catur, muay thai, kavadi, silabam dan petanque. Manakala 30 sukan teras pula adalah olahraga, hoki, badminton, skuasy dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Najwan, semua daerah di Selangor akan menjadi venue kepada kesemua sukan kecuali acara berbasikal trek akan diadakan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.

Kata Mohd. Najwan, kesemua venue kini menjalani kerja menaik taraf kecuali Lapang Sasar Subang dan Pusat Akuatik Darul Ehsan yang sedang berdepan beberapa isu teknikal.

“Kita harap kerja naik taraf pada Mac tahun hadapan bagi membolehkan kesemua venue boleh diuji selewat-lewatnya Mei tahun hadapan. Pada 30 September ini, Sekretariat Sukma dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan menganjurkan Konvensyen Belia Selangor bagi melatih bakal sukarelawan yang bertugas pada Sukma tahun hadapan mengenai protokol dan tugasan yang mereka perlu lakukan sepanjang temasya itu berlangsung.

“Kita hendak pastikan Sukma Selangor berlangsung lancar dengan harapan, Sukma tahun hadapan adalah Sukma terbaik yang pernah dianjurkan sepanjang sejarah penganjurannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN