Sinner rela kalah demi rampas takhta Alcaraz

Sinner rela kalah demi rampas takhta Alcaraz

Carlos Alcaraz menjulang trofi tenis Terbuka Amerika Syarikat selepas menewaskan Jannik Sinner dalam perlawanan akhir di New York, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Jannik Sinner mengakui dia sanggup menelan kekalahan jika itu harga yang perlu dibayar untuk memperbaiki permainannya bagi menyaingi pemain No.1 dunia, Carlos Alcaraz.

Di final Terbuka Amerika Syarikat (AS) kelmarin, Sinner tunduk dalam empat set ketika Alcaraz meraih gelaran Grand Slam keenamnya dengan penuh bergaya.

“Saya sangat mudah dibaca. Di gelanggang dia melakukan banyak perkara, dia ubah corak permainan. Itulah gaya dia bermain. Kini terpulang kepada saya sama ada mahu lakukan perubahan atau tidak.

“Sudah tentu kami akan bekerja ke arah itu. Saya cuba lebih bersedia untuk perlawanan seterusnya menentangnya,” kata Sinner.

Pemain Itali itu sebelum ini berjaya mara ke semua empat final Grand Slam tahun ini dan meraih dua kejuaraan, namun mengakui kehebatannya masih belum cukup untuk menandingi Alcaraz.

Bagi Sinner, kekuatan pukulan bertenaga dan ketepatan dari belakang gelanggang tidak lagi mencukupi apabila bertemu lawan yang memiliki variasi permainan lebih luas seperti Alcaraz.

“Sebelum ini saya selesa kerana sering menggunakan corak sama sepanjang kejohanan, tanpa servis-voli atau banyak drop shot, tetapi bila menentang Alcaraz saya perlu keluar daripada zon selesa,” ujarnya.

Sinner menegaskan dia rela berdepan risiko tewas di beberapa kejohanan selepas ini asalkan dapat memperbaiki corak permainan sekali gus tampil lebih berbahaya pada pertemuan akan datang dengan Alcaraz. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN