MADRID: Pemain No.1 dunia, Jannik Sinner meneruskan aksi cemerlang apabila menewaskan Arthur Fils 6-2, 6-4 untuk mara ke final Terbuka Madrid, semalam.
Sinner akan berdepan Alexander Zverev pada final hari ini selepas pemain pilihan kedua itu menundukkan pemain muda Belgium, Alexander Blockx 6-2, 7-5.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sinner mencatat kemenangan ke-22 berturut-turut selain memburu gelaran Masters 1000 kelima berturut-turut.
Dengan Carlos Alcaraz masih dibelenggu kecederaan, pemain Itali itu dilihat calon utama untuk menjuarai kejohanan di Caja Magica selepas merangkul gelaran di Indian Wells, Miami dan Monte Carlo sebelum ini.
“Saya bermain pada tahap amat tinggi, tetapi saya sentiasa mahu meningkatkan lagi permainan.
“Lebih-lebih lagi apabila kejohanan memasuki fasa serius. Anda perlu meningkatkan tahap permainan jika mahu terus mara,” kata Sinner.
Bagaimanapun, Sinner mengakui mula merasai keletihan selepas mengharungi terlalu banyak perlawanan sejak kebelakangan ini.
“Sudah tentu ada sedikit keletihan. Dari segi mental saya berada dalam keadaan baik, tetapi fizikal sedikit penat.
“Tubuh saya tidak benar-benar segar, namun itu perkara normal dan sebenarnya positif kerana ia menunjukkan saya bermain banyak perlawanan.
“Sudah tentu Ahad ini saya mahu tampil lebih baik, tetapi apa pun yang berlaku saya tetap berjaya mara ke satu lagi final kejohanan besar.” –AGENSI










