KUALA LUMPUR: Jurulatih sementara Singapura, Gavin Lee mengakui aksi berdepan Malaysia dalam perlawanan persahabatan hari ini sebagai medan persiapan terbaik untuk pasukannya berdepan India, bulan depan.
Singapura akan berdepan India pada Oktober untuk Kelayakan Piala Asia 2027 dan Gavin mahu melakukan persiapan terbaik untuk membawa pasukannya menjadi wakil Kumpulan C ke Piala Asia, nanti.
Menurut Gavin, dua perkara penting menjadi objektifnya dalam ksi persahabatan menentang Malaysia di Stadium Nsional Bukit Jalil iaitu membina pasukan terbaik dan mengakhiri perlawanan dengan keputusan positif.
“Perlawanan ini juga baik untuk kedua-dua pasukan sebenarnya, tetapi bagi kami, ini adalah peluang untuk membina pasukan dengan baik untuk persiapan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang India,
“Keputusan untuk perlawanan ini bukan dalam kawalan kami kerana banyak perkara yang akan mempengaruhinya, tetapi apa yang kami dapat pastikan ialah ialah kami akan berikan persembahan yang terbaik dan perlawanan yang menghiburkan.
“Kami tidak fikir tentang kekuatan lawan biarpun mereka diwakili pemain berbakat, kami fokus kepada pasukan sendiri. Namun, kena akui, esok (malam ini) adalah perlawanan yang sukar.
“Kami sedar bahawa perlawanan menentang Malaysia adalah ‘derby’. Namun yang lebih penting adalah bagaimana kami bertindak apabila menghadapi detik-detik sukar,” kata jurulatih berusia 34 tahun itu dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.
Sementara itu, Kapten Singapura, Safuwan Baharudin mengakui aksi menentang Malaysia mempunyai keunikan tersendiri berdasarkan sejarah panjang kedua-dua pasukan di rantau Asia Tenggara.
“Teruja untuk kembali beraksi menentang Malaysia, ini adalah sesuatu yang berbeza kerana Malaysia dan Singapura biasanya bertemu alam kejohanan, tetapi kali ini dalam aksi persahabatan. Bagi saya, ini persiapan terbaik untuk kedua-dua pasukan.
“Arah tuju kedua-dua pasukan adalah sama untuk Kelayakan Piala Asia pada Oktober. Kami akan berikan yang terbaik dalam perlawanan ini, biarpun tahu situasinya berlainan berbanding Malaysia yang dahulu,” katanya. – UTUSAN










