PETALING JAYA: Harapan menyaksikan jaguh trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 di Santiago, Chile pada Oktober ini tidak kesampaian apabila beliau terpaksa menarik diri ekoran belum pulih daripada kecederaan lutut.
Ketua jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri mengesahkan keputusan itu dibuat selepas menilai tahap kecergasan Shah Firdaus yang masih belum mencapai intensiti tinggi dalam latihan.
“Kami memutuskan untuk melangkau kejohanan dunia. Tiada guna untuk dia (Shah) duduk dalam kapal terbang selama 30 jam pergi dan balik tetapi tidak dapat memberi 100 peratus usaha. Ia tidak berbaloi.
“Pada akhirnya kesakitannya masih ada. Lebih baik dia tarik diri dan kami memberi tumpuan kepada rawatan serta proses rehabilitasi di sini,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.
Menurut Harnizam, pelumba kelahiran Muar itu kini menjalani rawatan sel stem selepas kaedah Platelet Rich Plasma (PRP) yang dilakukan dua minggu lalu gagal memberi kesan sepenuhnya.
Katanya, Shah Firdaus masih meneruskan latihan di gimnasium dan velodrom, namun fokus lebih tertumpu kepada bahagian atas badan serta kaki kiri manakala lutut yang cedera tidak diberi tekanan.
“Sakit itu muncul kembali selepas PRP. Sebab itu kami mencuba rawatan sel stem pula. Dua minggu lalu prosedur itu selesai dan setakat ini tiada sakit, tetapi kami masih belum berani beri beban tinggi pada lutut kanannya.
“Dia masih berlatih seperti biasa tetapi untuk intensiti tinggi belum boleh lagi. Doktor nasihatkan selepas 20 hari barulah boleh mula tingkatkan intensiti,” jelasnya.
Meskipun Kejohanan Dunia sah terlepas, status Shah Firdaus untuk beraksi di Sukan SEA Thailand hujung tahun masih terbuka kerana beliau mempunyai masa 13 minggu untuk kembali cergas walaupun perancangan awal kejurulatihan merehatkannya sehingga Februari depan.
Shah sebelum ini muncul juara acara keirin pada Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye pada Mac lalu, namun kejayaan itu mengorbankan lututnya yang kembali cedera sekali gus menjejaskan persiapan menuju kempen besar di hujung musim ini.
Dalam perkembangan lain, skuad berbasikal trek negara akan mengadakan sesi pemilihan (trial) pada Khamis ini Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan bagi menentukan barisan pelumba untuk acara pecut berpasukan selewat-lewatnya pada Jumaat nanti. – UTUSAN











