PETALING JAYA: Safawi Rasid mencuri tumpuan pada saingan Liga Super minggu ini dengan mencetak lima gol untuk berada di belakang pendahulu penjaring terbanyak setakat ini, Joao Figueiredo yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan enam gol.
Prestasi cemerlang itu menunjukkan Safawi kembali menemui sentuhan semula sehingga pengendali Kuala Lumpur (KL) City, Risto Vidakovic menganggap pemain itu umpama anugerah istimewa dimiliki pasukan itu.
Jelas Vidakovic, pemain Harimau Malaya itu hampir setiap perlawanan berjaya menjaringkan gol selain menjadi contoh terbaik kepada rakan sepasukan, khususnya pemain muda.
Selain membantu kelab, Safawi juga memberi berita gembira kepada skuad Harimau Malaya untuk menambah sengat pasukan kebangsaan memburu tiket ke Piala Asia 2027.
“Dia salah seorang pemain penting dalam pasukan, sangat penting untuk kami. Hampir setiap perlawanan dia menjaringkan gol. Semua orang tahu siapa Safawi, jadi bagi saya dia pemain yang sangat penting. Di bilik persalinan, sikapnya cukup baik dan menjadi teladan untuk pemain muda,” kata Vidakovic.
Selain prestasi cemerlang Safawi, pengumuman Selangor FC merehatkan ketua jurulatihnya Katsuhito Kinoshi juga mengejutkan arena bola sepak tempatan berikutan tindakan berkenaan dibuat ketika saingan liga baharu bermula.
Pengendali dari Jepun itu hanya berpeluang membimbing skuad Gergasi Merah dalam tempoh 10 bulan dan lebih malang ‘perpisahan’ itu diumumkan selepas Selangor mencatat kemenangan sulung di Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menewaskan Tampines Rovers 4-2.
Ketiadaan pengendali utama Selangor, menyaksikan beberapa nama turut dikaitkan bakal menjadi ketua jurulatih baharu Merah Kuning termasuk bekas pengendali Harimau Malaya yang pernah mencipta fenomena iaitu Kim Pan Gon, namun tiada pengesahan rasmi berkaitan spekulasi itu.
Dalam pada itu, JDT dan KL City masih mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini dalam saingan Liga Super musim 2025/26 sekali gus memberi gambaran awal kedua-dua pasukan ini akan bersaing sengit merebut kejuaraan.
Menyingkap tentang kehadiran penyokong, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terus konsisten mengekalkan jumlah kehadiran penyokong paling ramai sepanjang Negeri Sembilan beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan jumlah melebihi 20,000 orang. – UTUSAN







