Real bernasib baik dapat penalti

Real bernasib baik dapat penalti

Kylian Mbappe - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Dua sepakan penalti Kylian Mbappe menjadi penyelamat Real Madrid yang bermula hambar dalam kempen Liga Juara-Juara menewaskan Olympique Marseille 2-1 di Santiago Bernabeu, semalam.

Skuad kendalian Roberto De Zerbi mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan awal Timothy Weah sebelum bintang Perancis itu menyamakan kedudukan daripada sepakan penalti.

Keadaan bertambah tegang buat Madrid apabila Dani Carvajal dilayangkan kad merah kerana menanduk penjaga gol lawan, Geronimo Rulli, sekali gus memaksa pasukan 15 kali juara Eropah itu beraksi dengan 10 pemain.

Marseille hampir membawa pulang keputusan bersejarah, namun pengadil menghadiahkan penalti kedua kepada Madrid selepas bola terkena tangan Facundo Medina sekaligus satu keputusan yang dianggap keras oleh ramai pemerhati.

Mbappe tidak mensia-siakan peluang untuk meledak gol kemenangan sekaligus melengkapkan koleksi 50 golnya bersama Los Blancos.

“Saya hanya jalankan tugas. Mereka beri penalti, saya ambil sepakan itu dan jaringkan gol. Itu sahaja,” kata Mbappe.

Penampilan sulung Xabi Alonso selaku jurulatih Madrid di pentas Eropah turut diuji apabila Trent Alexander-Arnold terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan paha manakala beberapa tonggak utama termasuk Vinicius Junior direhatkan.

Thibaut Courtois pula mengakui kemenangan itu sepatutnya lebih bergaya.

“Dua gol datang dari penalti. Kami patut menjaringkan lebih banyak dan tamatkan perlawanan lebih awal. Ia kemenangan penting, tapi jadi sukar di hujungnya,” kata penjaga gol Belgium itu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN