Perkasa ikrar taat setia Rukun Negara

Perkasa ikrar taat setia Rukun Negara

RUKUN Negara bukan sekadar laungan tetapi asas penting dalam membentuk perpaduan, moral dan identiti rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUKUN Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, setahun selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang menggoncang jambatan perpaduan negara sebagai formula mujarab untuk menyatupadukan masyarakat majmuk negara ini.

Sejak itu ikrar Rukun Negara terus dilaungkan baik di sekolah, pejabat kerajaan mahupun di majlis-majlis rasmi sebagai simbolik peringatan untuk memperkasa keutuhan perpaduan kaum dari semasa ke semasa.

Setiap warganegara yang sayangkan negara perlu sedar ia adalah ideologi kebangsaan yang mesti dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan seharian mencakupi segala aspek kehidupan baik moral, politik dan sosial agar Malaysia kekal stabil serta harmoni.

Hakikatnya pada ketika ini negara dan rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman seperti perselisihan antara kaum yang ditimbulkan melalui pelbagai provokasi yang dicetuskan secara sengaja, isu integriti, rasuah dan salah guna kuasa, fitnah politik yang mencetuskan pergolakan pentadbiran, masalah berkaitan 3R (raja, agama dan kaum), selain sikap biadab netizen di media sosial.

Jelas sekali semua permasalahan ini bercanggah dengan semangat dan roh yang dibawa Rukun Negara, sekali gus membuktikan anggota masyarakat masih belum benar-benar memahami, memaknai dan menjiwai setiap lima prinsip Rukun Negara.

Lebih membimbangkan generasi muda hanya tahu melaungkan ikrar sebab diminta, disuruh atau diarahkan semata-mata. Mereka bukan sahaja gagal menghayatinya, malah tidak sedar kelima-lima prinsip Rukun Negara boleh dijadikan kompas moral yang boleh membimbing dan memberi panduan kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Justeru dalam konteks ini, kita menyokong penuh inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang memperkenalkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena ulang tahun ke-55 Rukun Negara pada tahun ini.

Secara umumnya, kempen berkenaan bertujuan memperkukuh perpaduan nasional menerusi penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara, menggalakkan rakyat terutamanya generasi muda agar terus berpegang kepada asas pembentukan negara serta mempertingkat kesedaran awam mengenai kepentingan taat setia kepada negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, KPN juga melaksanakan 11 inisiatif untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai wadah penyatupaduan rakyat Malaysia sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Hakikatnya apa jua inisiatif yang dilaksanakan kerajaan mestilah disambut dan dijayakan dengan berkesan oleh semua pemegang taruh agar mencapai objektif dan sasarannya yakni pada akhirnya kita mahu membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, adil, saksama, demokratik dan progresif.

PERANAN PELBAGAI PIHAK

Dalam hal ini usaha untuk memperkasa ikrar taat setia rakyat terhadap Rukun Negara perlu dipasak dan dilaksanakan dengan jayanya di pelbagai peringkat kehidupan dan amalan harian rakyat. Misalnya, peranan ibu bapa sangat penting dan perlu diperkasakan.

Umumya rumah dan keluarga adalah madrasah pertama kepada setiap anak yang dilahir dan dibesarkan. Ringkasnya, ajaran dan panduan amalan nilai-nilai murni bermula dari rumah dengan setiap ibu bapa dan ahli keluarga menjadi suri teladan mencakupi sikap, amalan dan tingkah laku seperti menghormati jiran, bertolak ansur dengan orang lain, sabar, tidak membazir serta menjaga tutur kata.

Ironinya, sedar atau tidak apa yang anak-anak lihat dan dengar akan lebih mudah melekat dalam minda seterusnya mempengaruhi amalan dan gaya hidup mereka berbanding nasihat semata-mata.

Justeru jika setiap ibu bapa mampu memikul amanah dan tanggungjawab dengan memupuk, mengajar dan mendidik anak masing-masing sejak kecil dengan segala nilai-nilai murni yang menjadi rukun dan asas kehidupan bermasyarakat berpaksikan prinsip kesopanan dan kesusilaan maka anak-anak ini akan membesar sebagai warganegara yang berakhlak dan bertanggungjawab.

Sekolah adalah platform rasmi pertama yang akan membentuk kemenjadian murid mencakupi segala aspek baik akademik mahupun kehidupan. Maka peranan sekolah juga wajar terus diperkasakan sebagai institusi yang memupuk dan melahirkan warganegara yang faham dan mampu menjiwai Rukun Negara sebagai panduan kehidupan mereka.

Harus diingat pelbagai masalah disiplin yang sedang melanda murid sekolah seperti kes buli boleh dikatakan berpunca daripada kegagalan anak-anak ini memahami sepenuhnya prinsip Rukun Negara seperti nilai kesopanan dan kesusilaan.

Justeru besarlah harapan kita agar bacaan ikrar yang diamalkan di sekolah pada ketika ini tidak terhenti pada laungan dan majlis semata-mata tetapi setiap prinsip yang diikrarkan itu perlu dihubungkaitkan dengan amalan harian murid agar mereka lebih faham aspek kerelevanan, maksud dan fungsi falsafah di sebalik prinsip tersebut.

Misalnya guru boleh menerapkan nilai Rukun Negara melalui aktiviti dalam dan luar bilik darjah menggunakan pelbagai pendekatan kreatif seperti pelaksanaan aktiviti yang mengaitkan kesopanan dengan etika berbahasa dan berkomunikasi atau terapkan elemen kesetiaan kepada negara melalui aktiviti menjaga kebersihan sekolah selain mengutamakan aspek integriti dan jati diri.

Program rutin seperti pertandingan pidato, forum remaja dan teater patriotik wajar terus diperkasakan dan diberi nafas baharu agar ia boleh menjadikan prinsip Rukun Negara terus ‘hidup’ dalam diri murid.

Peranan media massa dan media sosial juga wajar dipertingkatkan supaya falsafah Rukun Negara terus disebarluaskan dalam pelbagai pendekatan yang inovatif serta mesra rakyat, khususnya mendekati golongan muda dengan cara yang lebih kreatif.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi terutamanya kecerdasan buatan (AI), tiada alasan untuk pihak media tidak mampu menyediakan kandungan yang mampu menarik perhatian kumpulan sasar.

Misalnya, media sosial boleh menjadi alat pendidikan yang cukup berpengaruh dan berkesan kepada golongan muda. Maka pihak berkuasa perlu memanfaatkannya dengan bijak supaya boleh menjadi platform yang membantu mempopularkan Rukun Negara dalam kaedah yang lebih kreatif dan memenuhi citarasa generasi muda.

Tuntasnya semua pihak perlu berganding bahu memperkasa ikrar Rukun Negara kerana ia bukan laungan kosong, sebaliknya setiap warganegara perlu sedar ia adalah janji kita kepada tanah air untuk hidup bersatu, berdisiplin, adil dan berakhlak.

Kita mahukan apabila ikrar dilafazkan biarlah ia lahir dari hati yakni akan menjadi pegangan dan amalan yang dibawa bersama baik ketika berada di jalan raya, pejabat, sekolah mahupun ketika menggunakan media sosial. Maka, marilah kita memperkasa ikrar taat setia Rukun Negara bukan hanya sebagai lafaz di bibir tetapi sebagai nadi yang mengikat kita sebagai rakyat Malaysia.-UTUSAN

 

Penulis Ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×