Walaupun sambutan kemerdekaan sudah berlalu beberapa hari lalu, namun erti kemerdekaan yang sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi turut meliputi kejahilan, kemiskinan dan keterpinggiran.
Dalam konteks inilah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) harus dilihat sebagai simbol kemerdekaan paling agung dalam kebebasan untuk memperoleh pendidikan tinggi yang adil dan terbuka kepada anak bangsa.
Pendidikan adalah antara simbol kemerdekaan paling bernilai. Jika sebelum merdeka, bangsa Melayu, Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak sering tercicir daripada arus pendidikan tinggi, lahirnya UiTM adalah jawapan kepada jurang tersebut.
UiTM bukan sekadar institusi akademik tetapi manifestasi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memastikan hak Melayu dan bumiputera tidak dipinggirkan dalam pembangunan negara.
Transformasi UiTM bermula pada 1956 dengan nama Dewan Latihan RIDA, sebelum bertukar menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dan akhirnya mencapai status UiTM. Tahun hadapan, UiTM bakal menjejak usia 70 tahun sejak penubuhan Dewan Latihan RIDA, menjadikannya institusi pendidikan tinggi yang signifikan dalam naratif pembangunan bangsa.
UiTM adalah strategi kebangsaan untuk melahirkan ribuan profesional bumiputera doktor, jurutera, peguam, akauntan, arkitek, usahawan, malah pemimpin negara. Tanpa platform ini, jurang pendidikan dan sosioekonomi akan terus melebar. Hari ini, hasilnya jelas, tokoh-tokoh tersohor dan ribuan alumni UiTM kini memimpin institusi kerajaan, korporat, akademia dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Lebih penting lagi, UiTM mengekalkan yuran pengajian terendah di negara ini, sekali gus memastikan akses pendidikan tinggi untuk orang Melayu, Orang Asli, serta anak negeri Sabah dan Sarawak khususnya golongan B40 dan anak luar bandar.
Seperti ditegaskan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, UiTM kekal sebagai wadah pengupayaan sosial dan ekonomi berpaksikan prinsip keadilan untuk bangsa dan negara.
Mutakhir ini timbul suara-suara yang mendakwa UiTM menggadaikan prinsip pendidikan menerusi program UiTMSeatPlus. Dakwaan ini ternyata tidak berasas. Hakikatnya, daripada lebih 199,000 pelajar UiTM di seluruh negara, hanya 46 orang sahaja diterima melalui UiTMSeatPlus.
Angka kecil ini sama sekali tidak menjejaskan dasar asal UiTM yang berteraskan Perkara 153.
UiTMSeatPlus hanyalah laluan tambahan kecil dan khusus untuk memenuhi keperluan tertentu, tanpa menjejaskan kuota utama bumiputera yang ditawarkan melalui saluran rasmi UPU.
Melabelkannya sebagai ‘pintu belakang’ adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan masyarakat.
UiTM tetap teguh berpegang pada mandat asal menyediakan pendidikan tinggi berkualiti untuk anak bangsa, khususnya golongan B40 dan luar bandar.
UiTM juga giat memperkukuh dana pendidikan bagi menjamin kelestarian kewangan.
Antara inisiatif utama ialah Kempen Potongan Gaji serendah RM10 sebulan dalam kalangan staf, serta Kempen 1 Alumni 1 Ringgit semasa konvokesyen sebagai simbolik menyumbang kembali kepada alma mater.
Selain itu, UiTM menggerakkan kerjasama bersama alumni berprofil tinggi, tokoh korporat dan rakan industri bagi tajaan biasiswa, penyelidikan dan pembangunan fasiliti, termasuk konsep tajaan ruang di fakulti dan kampus cawangan.
UiTM juga menubuhkan Dana Biasiswa Endowmen khusus untuk membantu pelajar, terutamanya daripada golongan B40.
Model universiti ternama dunia membuktikan kelestarian kewangan banyak bergantung kepada dana pendidikan dan wakaf.
Universiti Al-Azhar di Mesir, universiti-universiti di Turkiye, malah universiti Barat terkemuka menjadikan dana pendidikan sebagai sumber utama operasi. Universiti Islam pula berkembang dengan sokongan wakaf. Walaupun kerajaan akan terus membiayai UiTM, namun universiti ini mesti berdaya usaha mencari sumber kewangan sendiri.
Meskipun berskala besar, UiTM terus mendaki tangga penarafan dunia pencapaian tertinggi dalam sejarahnya namun tetap teguh berakar kepada mandat asal, iaitu berkhidmat untuk anak bangsa bumiputera dengan yuran pengajian termurah antara universiti awam di negara ini.
Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang cuba meruntuhkan keyakinan terhadap UiTM sedangkan universiti ini terbukti melahirkan ratusan ribu profesional yang menyumbang kepada pembangunan negara?
Tanpa UiTM, jurang sosioekonomi antara kaum pasti lebih melebar dan amanah kemerdekaan ini belum selesai jika generasi baharu dibiarkan tercicir daripada dunia ilmu.
UiTM bukan sekadar menara ilmu tetapi juga tapak pembinaan jati diri mahasiswa berlandaskan agama, bangsa dan tanah air. Dari sinilah lahir graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang profesional tetapi juga berjiwa patriotik dan bersedia menyumbang kepada negara.
Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadilah (58:11) “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
Ayat ini menunjukkan Allah mengangkat kedudukan orang yang beriman dan memiliki ilmu, termasuk ilmu agama. Oleh itu, menuntut ilmu di mana-mana institusi, termasuk universiti, adalah keutamaan yang membawa keberkatan serta menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
Warisan perjuangan ini perlu diteruskan. Seperti kata pepatah Melayu, ‘takkan Melayu hilang di dunia’, begitulah UiTM, selagi ia teguh dengan maqasid penubuhannya. UiTM akan terus menjadi benteng ilmu dan masa hadapan bumiputera, seiring aspirasi negara melalui Gagasan Universiti Terkemuka di Peringkat Global (GRU) 2025.
MERDEKA BUKA RUANG KEJAR IMPIAN
Hayatilah maknanya kemerdekaan adalah peluang untuk membina masa hadapan melalui ilmu. UiTM berdiri hari ini sebagai bukti kemerdekaan bukan sekadar simbol tetapi realiti yang membuka ruang kepada anak bangsa untuk mengejar impian.
UiTM bukan sahaja menara ilmu tetapi juga simbol kemerdekaan pendidikan benteng maruah bangsa, wadah pembinaan jati diri dan medium untuk merealisasikan gagasan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil, seimbang dan berdaya saing di mata dunia.
Kemerdekaan tidak akan bermakna jika bangsa masih terbelenggu dengan kejahilan dan ketinggalan.
UiTM membuktikan dengan ilmu, Melayu dan bumiputera mampu bangkit, membina kekuatan dan menyumbang kembali kepada tanah air.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Shahrin Sahib @Sahibuddin ialah Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










