PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski perlu membuat rombakan besar dalam skuad negara sekiranya kekal tidak dapat menggunakan tujuh pemain warisan dalam aksi menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober ini dalam Kelayakan Piala Asia 2027.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, situasi itu menuntut Cklamovski membentuk skuad baharu kerana ketiadaan tujuh pemain memberi kesan besar berdasarkan kebergantungan terhadap mereka dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Katanya, Cklamovski ketika ini tiada pilihan lain dan perlu membuka peluang buat beberapa pemain tempatan yang menyerlah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) bagi meneruskan cabaran negara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos nanti.
“Situasi sukar untuk Cklamovski sekarang kerana hilang sebahagian besar pemain yang jadi harapan, jadi kita tiada pilihan, kena gunakan pemain tempatan dan saya sifatkan ini adalah peluang untuk pemain tempatan membuktikan kemampuan masing-masing.
“Jika diberikan peluang, tunjukkan. Setakat ini, ada beberapa pemain yang menyerlah, jadi kenapa tidak mereka ini diberikan perlung untuk mewakili negara,” katanya kepada Utusan Malaysia bagi mengulas pilihan Cklamovski jika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman ke atas tujuh tonggak pemai warisan.
Jumaat lalu, FIFA menggantung tujuh pemain warisan babitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel daripada sebarang aktiviti bola sepak berkuatkuasa serta merta selama 12 bulan.
Penggantungan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen untuk membolehkan semua pemain terbabit mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
Mengulas lanjut, Wan Jamak berkata, beliau yakin anak tempatan mampu membawa cabaran menentang Laos berdasarkan reputasi negara berkenaan berbanding pesaing lain dalam Kumpulan F seperti Vietnam.
“Bukan mahu menidakkan keupayaan Loas, tetapi berdasarkan kualiti pemain tempatan, mereka tidak berdepan masalah memberikan keputusan positif selain percaturan Cklamovski mampu memainkan peranan untuk memastikan mata penuh milik Malaysia,” katanya.
Antara pemain tempatan yang menyerlah di Liga M dan patut diberikan peluang ketika ini ialah pemain tengah Kuching City FC, Danial Amier serta dua tonggak Negeri Sembilan FC, Harith Samsuri dan A Selvan.
Selain itu, Cklamovski juga boleh memberikan debut pertama kepada penyerang naturalisasi terbaharu yang mewakili Kuching City, Jordan Mintah yang disahkan sudah meraih kerakyatan Malaysia selepas beraksi di negara ini selama lima tahun berturut-turut.
Pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Ryan Lambert juga adalah tonggak warisan yang belum membuat penampilan bersama skuad negara ketika kembarnya, Declan Lambert sudah beberapa kali beraksi untuk pasukan kebangsaan.
Selain itu, Richard Chin yang meraih caps pertamanya di pentas antarabangsa ketika menentang Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa awal bulan ini juga boleh diberi peranan yang lebih bagi mengukuhkan benteng negara.
habis










