PENDEKATAN konvensional dalam menangani isu infrastruktur bandar berkepadatan tinggi semakin tidak relevan.
Realiti hari ini menunjukkan kegagalan sesuatu sistem memberi kesan berganda merentasi sektor. Namun, pembiayaan penyelesaian jangka panjang masih terlalu bergantung kepada bajet tahunan, geran sekali bayar atau perbelanjaan operasi reaktif.
Hakikatnya, risiko iklim dan infrastruktur kritikal menuntut perancangan jauh lebih besar dengan dana mampan.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya di kawasan maju seperti Lembah Klang, sebenarnya mempunyai asas kewangan kukuh menerusi hasil cukai, fi dan caj perkhidmatan selain rizab tunai. Tetapi aliran tunai operasi hanya mencukupi untuk emolumen, penyelenggaraan dan kos biasa, sekali gus tidak mampu menampung projek besar seperti tebatan banjir, kolam takungan, pusat kawalan bandar pintar atau sistem saliran skala bandar.
Ketiadaan mekanisme pembiayaan jangka panjang menjadi penghalang utama. Walaupun undang-undang membenarkan PBT meminjam atau menerbitkan surat ikatan hutang dengan kelulusan kerajaan negeri, pasaran bon perbandaran di Malaysia belum terbentuk kerana tiada kerangka khusus dan laluan pasaran rasmi.
PASARAN BON PERBANDARAN
Belanjawan 2026 wajar dijadikan titik mula membina infrastruktur dasar pasaran ini. Dengan wujudnya bon perbandaran, PBT dapat:
• Menyediakan pembiayaan alternatif tanpa bergantung kepada cukai pintu atau lesen perniagaan.
• Mempercepat pelaksanaan projek pembangunan seperti jalan raya, saliran dan utiliti bandar.
• Memulakan projek mitigasi berskala besar dengan lebih strategik.
• Meningkatkan tadbir urus melalui penarafan kredit dan semakan kewangan telus.
• Menggalakkan pelaburan domestik dengan penyertaan institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau institusi kewangan pembangunan (DFI).
• Merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan melalui pembangunan pasar awam, terminal pengangkutan dan zon perindustrian.
• Menyokong Agenda Pembangunan Mampan apabila digunakan untuk projek hijau seperti pengurusan sisa, tenaga boleh diperbaharui dan pengangkutan awam mesra alam.
Inisiatif boleh dirintis melalui penubuhan Sukuk Perbandaran/Tetingkap Bon di bawah Suruhanjaya Sekuriti, membolehkan PBT berprofil kredit tinggi menerbitkan sukuk atau bon.
Namun, kejayaannya bergantung kepada penilaian kredit ketat, pemantauan Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain pengawasan kewangan berterusan.
Jenis instrumen juga perlu disesuaikan sama ada sukuk konvensional atau bon hijau dengan pelabelan piawaian SRI atau ASEAN Green Bond untuk menurunkan kos pembiayaan, menarik pelabur institusi dan memastikan ketelusan projek.
TEKNOLOGI PENGGERAK BANDAR PINTAR
Pembiayaan semata-mata tidak mencukupi tanpa kecekapan pelaksanaan. Malaysia memiliki kerangka bandar pintar nasional, namun pelaksanaannya di peringkat PBT perlu lebih menyeluruh.
Penggunaan teknologi masa nyata seperti sensor internet kebendaan (IoT), sistem telemetri, analitik ramalan dan automasi kawalan (SCADA) harus menjadi asas pengurusan bandar moden. Pendekatan ini boleh mengurangkan risiko kegagalan sistem sekali gus meningkatkan daya tahan bandar.
PENGAJARAN DARI TURKIYE
Turkiye menawarkan model praktikal melalui İller Bankası (İLBANK), institusi kewangan milik negara yang menyokong keperluan kewangan majlis perbandaran. İLBANK menghimpun dana jangka panjang, menilai kelayakan projek, menyalurkan pembiayaan bersyarat dan memantau teknikal serta kewangan.
Pembayaran balik pinjaman dihubungkan terus kepada hasil berulang seperti cukai harta, caj air dan bil perbandaran (ring-fenced revenues). Model ini terbukti berkesan melalui projek bersama Bank Dunia, Program Bandar Mampan dan pembiayaan European Investment Bank (EIB).
Dalam beberapa tahun sahaja, İLBANK mengurus RM6 hingga RM8 bilion untuk infrastruktur awam termasuk bekalan air, pengurusan sisa, mobiliti awam, kawalan kecemasan dan infrastruktur digital. Kesemuanya relevan dengan keperluan bandar padat di Malaysia.
Kejayaan ini membuktikan mekanisme pembiayaan berstruktur melalui entiti nasional perantara mampu menjadikan projek besar boleh dicapai tanpa bergantung sepenuhnya kepada bajet tahunan.
Malaysia boleh mencontohi model ini dengan membentuk entiti baharu atau memberi mandat khusus kepada institusi sedia ada untuk mengurus sukuk SRI dan bon hijau, sekali gus menurunkan kos dana serta menarik pelaburan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
KEBERANIAN POLITIK
Malaysia sudah memiliki kerangka undang-undang dan kawal selia. Yang diperlukan ialah keberanian dasar untuk memformalkan laluan ini dalam Bajet 2026, bermula dengan projek rintis di satu atau dua PBT yang kukuh dari segi fiskal.
Risiko tetap wujud sama ada dari segi kelulusan politik, pelaksanaan teknikal atau penerimaan pasaran. Namun, ia boleh diurus melalui piawaian hutang yang jelas, garis panduan Perbendaharaan dan pengawasan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Pelaksanaan memerlukan Pejabat Pengurusan Projek (PMO) di peringkat negeri lengkap dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kejuruteraan, semakan berkala serta penglibatan pelabur institusi. Pelabelan sebagai SRI akan mengurangkan premium risiko dan meningkatkan keyakinan pasaran.
MASA HADAPAN BANDAR MAMPAN
Malaysia menanggung kerugian berbilion ringgit akibat banjir, gangguan air dan kesesakan. Semua ini berpunca daripada kelemahan infrastruktur serta kekangan dana. Padahal, teknologi pengurusan bandar sudah tersedia dan undang-undang membenarkan PBT bertindak.
Yang tinggal hanyalah pembentukan saluran pembiayaan jelas, disokong entiti telus dan berkeupayaan seperti İLBANK. Dengan kerangka ini, Belanjawan 2026 boleh menjadi detik permulaan perubahan struktur, membolehkan bandar padat lebih berdaya tahan dengan rakyat sebagai rakan kongsi pembangunan.
Masalah dana terhad di PBT telah lama menjejaskan keberkesanan pentadbiran dan kualiti hidup penduduk. Kekangan ini mengehadkan perkhidmatan asas seperti sisa pepejal, air bersih dan pengangkutan awam serta menghalang pelaburan teknologi pintar.
Justeru, mekanisme pembiayaan menjadi keperluan mendesak.-UTUSAN
PENULIS adalah Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).










