CITRA Melayu malas muncul disebabkan masyarakat Melayu menentang untuk kerja di ladang kapitalis penjajah.
Syed Hussein Alatas pernah menegaskan mitos ‘peribumi malas’ atau ‘Melayu malas’, ‘Cina yang dapat disogok’ dan ‘India penakut dan penipu’, merupakan citra menyerupai masyarakat Filipina dan Jawa diwarisi wacana kolonial merupakan naratif ideologi untuk menjustifikasi ketaksamaan serta kelemahan struktur dicipta penjajah.
Beliau menolak stereotaip kemunduran sosioekonomi masyarakat berpunca daripada sikap, sebaliknya menekankan faktor institusi dan struktur yang membelenggu peluang pendidikan serta ekonomi.
Pandangan ini seiring teori keupayaan oleh ahli ekonomi dan falsafah dari India, Amartya Sen yang melihat pembangunan sebagai usaha memperluas kemampuan manusia untuk mencapai potensi, bukan sekadar pertumbuhan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Namun, naratif warisan kolonial itu berulang kembali dalam wacana politik moden. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika memimpin negara, beberapa kali mengungkapkan pandangan orang Melayu malas sebagai sebab mereka ketinggalan dalam pembangunan ekonomi.
Slogan ‘Melayu malas’ yang diulang-ulang sehingga hari ini seperti benar apabila B40 masih tidak mampu mengubah mobiliti sosial, sedangkan mereka menyara diri dengan mengambil dua, tiga kerja atau lebih.
Apabila kerajaan hari ini ingin memberikan bahagian daripada kek ekonomi kepada golongan ini, mereka dinafikan dengan stereotaip sama. Slogan sendeng ini secara tidak langsung meneruskan legasi kolonial yang mengaitkan kemiskinan dengan kelemahan budaya, bukannya dengan struktur dasar dan peluang tempang.
RMK13
Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan melakar semula pembangunan negara dengan menekankan pembangunan modal insan, mewujudkan pekerjaan bermaruah dan memastikan gaji serta peluang kerjaya setara kelayakan.
Pendekatan ini menunjukkan usaha memperbetulkan kerangka pembangunan terangkum, sekali gus mengatasi masalah kemiskinan yang berakar, diwariskan struktur penjajahan dan diperkuat oleh wacana lama.
Kemiskinan bandar lazimnya berpunca daripada kos sara hidup tinggi, gaji rendah serta akses terhad kepada perumahan dan perkhidmatan asas. Walaupun kemiskinan mutlak berkurang, ramai miskin bandar masih terperangkap dalam kemiskinan relatif. Mereka terjebak dalam kitaran ganas di mana pendapatan rendah mengehadkan peluang pendidikan dan kesihatan, lalu mengekang akses kepada pekerjaan yang lebih baik.
Masalah ini ditambah lagi dengan isu perumahan, pengangguran belia dan ketiadaan jaringan sosial yang kukuh. Melalui RMK13, menangani kemiskinan, merapatkan kesenjangan dan menambah baik perlindungan sosial mampu menangani kemiskinan tegar.
Malah, pembangunan bandar inklusif, mampan dan berdaya tahan dirangka sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) 2026 hingga 2029.
Antara langkah konkrit termasuk perluasan teknologi pembinaan moden melalui Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi meningkatkan kualiti, mempercepatkan projek dan mengurangkan pembaziran kos, khususnya dalam pembinaan perumahan awam.
Pendekatan ini menyokong sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperkenalkan Transit-Oriented Development (TOD) yang mengintegrasikan perumahan mampu milik dengan sistem pengangkutan awam bagi memperkukuh akses B40 kepada pendidikan dan pekerjaan.
Selain itu, data perumahan bersepadu turut dibangunkan untuk memastikan dasar lebih tepat, manakala perlindungan kepada pembeli rumah diperkukuh.
Usaha membasmi kemiskinan bandar turut dilengkapi program baik pulih dan pembinaan semula rumah usang serta pengukuhan amalan ekonomi kitaran melalui pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap. Strategi ini memperlihatkan kesungguhan menangani kemiskinan bandar secara sistemik, bukan hanya dengan bantuan sementara.
Isu kemiskinan tegar juga berkait rapat jurang wilayah. Sabah dan Sarawak masih ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung meskipun kaya dengan sumber asli.
Sabah, misalnya, melalui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), melaksanakan beberapa inisiatif penting untuk mengurangkan jurang pembangunan bandar-luar bandar.
Antaranya termasuklah Pembasmian Kemiskinan melalui Inisiatif Pertanian, Semakan Dasar Sekuriti Makanan bagi Sabah, Pemetaan Potensi Pelancongan Berasaskan Komuniti mengikut Daerah, Pelan Hijau Mampan Sabah (SPICE) serta Membangunkan Kerangka Mampan untuk Geopark Kinabalu.
Kesemua inisiatif ini menunjukkan usaha untuk mencipta ‘kolam-kolam’ ekonomi baharu yang sesuai dengan realiti setempat serta memecahkan kitaran kemiskinan luar bandar.
Sabah dan Sarawak memerlukan model desentralisasi fiskal yang memberi kuasa lebih luas kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan dana pembangunan mengikut keadaan tempatan. Penekanan perlu diberi kepada peningkatan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, jalan raya dan sistem pendidikan untuk memecahkan kitaran kemiskinan.
Dalam konteks jurang kemiskinan dalam negeri, Pulau Pinang sering dianggap negeri maju dengan pencapaian ekonomi tinggi, namun angka makro ini menutup realiti ketidaksamaan dalaman. Walaupun kemiskinan tegar dilihat sudah dihapuskan pada 2024, kadar kemiskinan relatif meningkat dan memberi kesan 1 daripada 10 isi rumah di Pulau Pinang (Penang Institute, 2024).
Kesenjangan juga meningkat, indeks Gini naik daripada 0.356 kepada 0.371. Peningkatan kesenjangan ini lebih ketara di daerah pentadbiran Barat Daya dan Seberang Perai Tengah (SPT) berbanding daerah lain. Situasi ini memperlihatkan wujudnya dua wajah pembangunan: di satu pihak, George Town dan kawasan pulau berfungsi sebagai pusat moden dan berdaya saing global; di pihak lain, daerah seperti SPT berdepan cabaran sosial, kekurangan pekerjaan dan mobiliti sosial yang terbatas.
Jurang dalam negeri membuktikan angka makro tidak mencerminkan kualiti hidup komuniti menyeluruh. Pulau Pinang perlu menyeimbangkan kejayaan ekonomi makronya dengan dasar inklusif berasaskan data mikro yang mencerminkan sosioekonomi peringkat daerah dan komuniti. Hanya dengan cara ini pembangunan mampu bersifat terangkum dan mampan.
Tuntasnya, ketaksamaan di Malaysia berlapis dan kompleks berdasarkan jurang pendapatan yang semakin melebar antara isi rumah terkaya dan termiskin; jurang bandar–luar bandar yang menampakkan ketidakadilan akses kepada pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas; jurang wilayah yang terus membantutkan pembangunan negeri yang meskipun kaya dengan sumber asli serta jurang dalam negeri iaitu antara daerah.
Lebih mendasar, wujud jurang ideologi yang diwarisi daripada kolonialisme yang masih bergema dalam wacana politik moden. Naratif sebegini menutup punca struktur sebenar kemiskinan iaitu kelemahan institusi, kapasiti fiskal yang tidak seimbang dan ketidakadilan pasaran buruh.
Justeru, menangani kemiskinan menuntut reformasi struktur dan pemikiran.-UTUSAN
DR. Noraisah Yusop ialah Felo Penyelidik Pascadoktoral diInternational Institute of Public Policy and Management (INPUMA) Universiti Malaya.










