Pas ada kuasa politik tapi bagaimana tadbir negara?

Pas ada kuasa politik tapi bagaimana tadbir negara?

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kiri) dan Ahmad Samsuri Mokhtar adalah dua nama yang menonjol untuk diangkat sebagai calon perdana menteri Pas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIRAI politik negara menyaksikan dua parti utama Perikatan Nasional (PN), iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan dan Muktamar.

Pada ketika ini, Pas adalah parti terbesar dalam PN dengan 43 kerusi Parlimen, berbanding Bersatu (31), manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) tidak memiliki kerusi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas bukan sahaja muncul sebagai parti terbesar daripada segi bilangan kerusi parlimen malah mendahului parti dalam kerajaan dengan DAP (40), PKR (31) dan UMNO (26).

Sama ada ketika bersama Pakatan Rakyat (PR) atau PN, Pas dilihat sebagai penyumbang bilangan kerusi tetapi diketepikan dalam menentukan pucuk pimpinan gabungan. Keadaan ini mungkin kerana sikap rendah hati parti Islam itu yang enggan menggoncang keseimbangan.

Namun, sejak kebelakangan ini, suara dari kalangan profesional serta golongan pertengahan dalam Pas mendesak parti tampil lebih ke hadapan, termasuk menerajui PN. Isyarat ini turut dizahirkan dalam ucapan dasar Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menekankan keperluan ‘kembali kepada penyelesaian Islam’.

Tersurat dan tersirat, Pas kini bukan lagi boleh memilih tetapi wajib bersedia untuk memimpin.

Rasa tidak puas hati juga dipengaruhi pengalaman dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, di mana Pas seolah tidak dihormati sebagai rakan gabungan setaraf. Ditambah pula dengan perebutan kuasa dalaman Bersatu, ramai melihat parti itu bergolak dan kurang stabil. Maka persoalan besar timbul, adakah Pas bersedia menerajui PN dan seterusnya negara?

Untuk menjawabnya, kita perlu menilai prestasi lampau. Contoh paling jelas ialah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan (1990-2013). Pada awalnya, ramai meragui kemampuan seorang ulama mentadbir negeri. Namun, Nik Aziz bukan sahaja berjaya memerintah dengan baik, malah cemerlang walaupun berdepan tekanan kerajaan pusat.

Falsafah ekonominya berasaskan kebajikan, membasmi kemiskinan dan tadbir urus berhemah. Beliau menolak riba, menggantikan pajak gadai konvensional dengan skim Ar-Rahn patuh syariah.

Nik Aziz dikenang kerana hidup sederhana, mengurus kewangan telus dan membangunkan kekuatan tempatan khususnya sektor pertanian. Inilah model kepimpinan Islam beretika yang boleh menjadi inspirasi negara.

Kejayaan beliau juga membuktikan Pas mampu menampilkan kepimpinan yang menggabungkan nilai agama dengan kecekapan pentadbiran. Ia sekali gus menolak persepsi Pas hanya parti agama tanpa visi ekonomi moden.

Maju ke 2025, persoalannya, adakah Pas memiliki tokoh setanding Abdul Hadi atau Nik Aziz untuk digilap sebagai calon Perdana Menteri ke-11?

Dua nama menonjol:
– Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar: Menteri Besar Terengganu, tokoh teknokrat dengan kelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan AeroAngkasa.
Beliau pernah berkhidmat di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini terbukti mentadbir Terengganu dengan disiplin kewangan berhemah. Sifat sederhana serta imej profesional menjadikan beliau sesuai memimpin negara majmuk.
Tegas dan tidak mudah dipengaruhi, beliau dilihat sebagai calon kompromi terbaik.

– Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor: Menteri Besar Kedah yang terkenal dengan gaya lebih agresif. Muhammad Sanusi berjaya memacu ekonomi Kedah dan mendapat sokongan rakyat kerana perwatakan mesra serta berani. Beliau dianggap mempunyai kekuatan politik akar umbi yang kukuh.
Kedua-dua tokoh ini menunjukkan Pas mempunyai pilihan berkaliber. Kepelbagaian gaya kepimpinan ini boleh meluaskan daya tarikan Pas kepada segmen pengundi yang berbeza.

DASAR PARTI

Selain memberi tumpuan kepada tokoh, dasar parti juga tidak boleh diketepikan.

Pas melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051, sebuah dokumen jangka panjang sehingga tahun 2051. WINS menekankan keadilan pengagihan kekayaan, agar ia tidak berputar dalam kelompok tertentu.

Pendekatan ini menandakan Pas serius dengan perancangan ekonomi mampan, beretika dan berteraskan Islam, bukan sekadar retorik politik.

WINS juga menekankan keseimbangan pembangunan material dan spiritual. Ia menampilkan visi ekonomi baharu yang tidak terpisah daripada prinsip agama, bahkan boleh bergerak seiring.

WINS membuktikan Pas bukan sekadar mengejar jawatan tetapi mahu menyelesaikan masalah rakyat.

KELUAR DARI KEPOMPONG

Namun, melihat realiti semasa, Pas mesti berani keluar dari kepompong, menampilkan kesediaan untuk memimpin dan menjelaskan kepada rakyat apakah tawaran mereka sekiranya diberi mandat menerajui negara.

Selain calon perdana menteri, Pas wajar mula menamakan bakal menteri Kabinet untuk menonjolkan barisan kepimpinan yang bersedia. Ahli Parlimen Pas kini ramai berkelayakan tetapi parti juga boleh memperluaskan penyertaan dengan membawa lebih ramai teknokrat dan ahli akademik sebagai pelapis.

Dengan cara ini, Pas dapat meyakinkan rakyat yang mereka mampu memimpin negara moden secara berkesan.

Pendekatan ini juga memberi mesej Pas bersedia menjadi kerajaan dengan pasukan profesional yang lengkap. Kejelasan struktur kepimpinan akan meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa bahawa pentadbiran negara kelak stabil, berwibawa dan berasaskan prinsip keadilan.

Pas berada di persimpangan sejarah. Dari ‘teman sejati’ dalam gabungan, kini parti terbesar dalam PN.

Dengan rekod pentadbiran Nik Aziz, munculnya tokoh teknokrat/akademik seperti Ahmad Samsuri dan dengan adanya juga Muhammad Sanusi serta rancangan induk WINS 2051, Pas memiliki ramuan yang mencukupi untuk melangkah ke hadapan.

Cabaran utama ialah keberanian untuk tampil sebagai peneraju, bukan lagi sekadar penyokong.

Jika berjaya meyakinkan rakyat yang kepimpinan Pas membawa keadilan ekonomi, tadbir urus beretika dan kesejahteraan berasaskan Islam, maka peluang parti ini untuk menjadi perdana menteri bukan lagi sekadar kemungkinan tetapi kewajipan sejarah.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×